Wednesday, 27 November 2019

Bajet 2020 : Tiada Kelulusan Penjualan Vape Di Terengganu

SHARE
Dr Alias Razak.

KUALA TERENGGANU, 27 November – Kerajaan Terengganu tidak memberi sebarang kelulusan untuk penjualan rokok elektronik atau vape di negeri itu setakat November tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak menegaskan, tindakan telah diambil terhadap individu dan syarikat yang beroperasi secara haram.

Katanya, melalui operasi yang dibuat pihaknya telah bertindak terhadap 27 premis di seluruh Terengganu kerana menjalankan aktiviti tanpa lesen dan kelulusan.

“Kita telah mengarahkan supaya kedai atau aktiviti itu dihentikan, kompaun juga dikenakan kepada mereka.

“Daripada senarai itu, 12 peniaga di Kuala Terengganu, tujuh di kemaman, tiga di Marang, dua di Besut dan Hulu Terengganu serta satu di Setiu,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Terengganu Keempat Belas (Bajet 2020) di Wisma Darul Iman, hari ini.

Tambah beliau, tindakan itu dibuat bertujuan untuk mendidik masyarakat supaya tidak terjebak dalam aktiviti yang telah difatwakan haram dan membahayakan kesihatan.

Dalam perkembangan berbeza, beliau menyatakan komitmen kerajaan negeri untuk terus menjaga kebajikan rakyat melalui peruntukan sebanyak RM10 juta bagi pemberian Kad Sejahtera dalam tahun 2020.

“Setakat ini sekitar 5,000 penerima seluruh Terengganu telah mendapat manfaat daripada bantuan kad sejahtera.

“Kita menggunakan data e-Kasih untuk tujuan itu dan dengan penyertaan sebanyak 40 buah klinik swasta dan kita masih mencari lagi klinik-klinik bagi memudahkan kelulusan 12 ribu lagi,” jelasnya.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: