Wednesday, 27 November 2019

Bajet 2020: Terengganu Sasar Penubuhan Kilang Makanan Ternakan

SHARE
Dr. Azman.


KUALA TERENGGANU, 27 November- Kerajaan negeri meletakkan sasaran dalam pelan strategik pertanian Terengganu untuk mewujudkan sebuah kilang makanan ternakan di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, ini kerana kerajaan menyedari akan beban kos makanan ternakan yang terpaksa ditanggung penternak disebabkan tiada kilang makanan ternakan bukan sahaja di Terengganu, malah di Pantai Timur.

“Bahan-bahan asas seperti sisa isirong kelapa sawit dan ikan baja untuk kita gantikan tulang yang biasanya digunakan oleh pengilang-pengilang makanan ternakan di sebelah pantai barat telah sedia ada.

“Usaha ke arah pelaksanaannya telah bermula dan kerajaan negeri telah menerima beberapa cadangan kertas kerja daripada pelabur yang berminat untuk menanam jagung bijian secara besar-besaran seterusnya merealisasikan hasrat ke arah pembinaan sebuah kilang makanan ternakan di negeri kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam sesi penggulungan perbahasan Belanjawan 2020 pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Iman, hari ini.

Beliau turut memaklumkan, salah satu syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri iaitu Terengganu Agrotech Development Corporation Sdn. Bhd. (TADC) juga sedang bergiat dalam bidang penghasilan Silaj Napier.

“Silaj Napier iaitu bahan makanan ternakan hasil pemeraman ini akan dibekalkan kepada para penternak dengan harga yang lebih rendah sebagai sebagai satu lagi sumber makanan alternatif dan kekurangan isu makanan ternakan.

“Kita juga cuba selesaikan secara berperingkat melalui pelan pemulihan padang ragut dalam Bajet 2020, di mana kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM100,000 untuk pemulihan lima buah padang ragut rakyat,” katanya.

Dr. Azman turut menyatakan antara yang akan dibaik pulih ialah padang ragut rakyat di Kampung Chabang, Kerteh sebagaimana yang dihasratkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir. Saiful Azmi Suhaili.

“Kita juga menerima peruntukan sebanyak RM200,000 untuk pembukaan lima padang ragut baru di kawasan-kawasan yang masih terbiar.

 “Untuk rekod, masih terdapat kira-kira 2,000 hektar rizab padang ragut dalam keadaan terbiar yang akan dipulihkan secara berperingkat demi peringkat untuk manfaat masyarakat penternak setempat,” katanya.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: