Wednesday, 27 November 2019

Bajet 2020 : Terengganu Sasar 15 Peratus Pendapatan Tambahan Melalui Tiga Sektor

SHARE
Ahmad Samsuri.
KUALA TERENGGANU, 27 November - Kerajaan Terengganu menyasarkan untuk menjana sebanyak 15 peratus pendapatan tambahan bagi menampung keperluan hasil negeri itu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ia bakal dijana melalui tiga sektor utama iaitu pelancongan, air dan galian.

Katanya, dalam sektor pelancongan pihaknya sedang mengkaji langkah tertentu termasuk dengan memperkenalkan beberapa cukai baharu seperti cukai warisan dan cukai pemeliharaan.

“Manakala untuk sektor bekalan air, kita akan menggubal enakmen pembekalan air mentah bagi membolehkan kerajaan negeri menjana pendapatan melalui penggunaan air mentah oleh industri.

“Dan bagi sektor galian pula, kerajaan negeri akan menyemak semula caj-caj yang dikenakan untuk pengeluaran bahan galian,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam sesi penggulungan Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Terengganu Keempat Belas (Bajet 2020) di Wisma Darul Iman, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Samsuri turut menyatakan, kerajaan negeri melalui Lembaga Tabung Warisan sedang membuat kajian dan penelitian supaya tabung tersebut selari dengan peranan ‘Sovereign Fund’ di Norway.

Katanya, usaha itu bertujuan untuk meningkatkan lagi pendapatan tambahan negeri dalam sektor sumber asli gas dan petroleum.

“Kita mahu negeri Terengganu menguruskan sebahagian hasil petroleum menerusi Sovereign Fund sebagaimana yang dilakukan di negara Norway.

“Dalam masa yang sama, kita mahu mengurangkan kebergantungan syarikat-syarikat berkait kerajaan (GLC) terhadap dana daripada kerajaan supaya perbelanjaan kewangan negeri menjadi lebih efisien.

“Dan GLC yang berdaya maju ini nanti mampu untuk menyumbang balik kepada negeri dan rakyat,” tambah beliau.

Dewan Undangan Negeri Terengganu hari ini juga sebulat suara meluluskan Belanjawan Negeri 2020.



SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: