Wednesday, 27 November 2019

Bajet 2020: Terengganu Pacu Hab Pasaran Produk Halal Pantai Timur

SHARE
Mohd Nurkhuzaini.


KUALA TERENGGANU, 27 November- Kerajaan negeri sedang merangka usahasama dengan Kerajaan China untuk mewujudkan hab halal terbesar dunia di negara berkenaan sebagai inisiatif mengetengahkan 100 peratus produk usahawan Muslim Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Indusri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja  negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman memaklumkan, hasil kerjasama dua hala yang telah berlangsung itu, Terengganu melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) turut dijadikan hab bagi mengetengahkan produk-produk  dari Pantai Timur untuk pasaran halal China.

“Kita juga telah diberikan ruang seluas 20,000 kaki persegi di Kuala Lumpur untuk menempatkan produk-produk ini bagi tujuan pernghantaran ke sana.

“Jadi, sekitar dua minggu lalu, kita telah memanggil usahawan-usahawan yang mengeluarkan produk ini untuk memberi penjelasan berkaitan ciri-ciri dan garis panduan yang perlu dipatuhi bagi memasarkan produk mereka di negara China,” katanya ketika berucap dalam sesi penggulungan Belanjawan Terengganu 2020 di Wisma Darul Iman, semalam.

Tambahnya, antara produk pilihan negara berkenaan adalah produk hasil daripada burung walit yang mana ia secara tidak langsung akan akan memberi manfaat kepada hampir 200 pengusaha sarang burung walit di Terengganu.

“Kita juga telah mengadakan pertemuan dengan persatuan peniaga Melayu dan persatuan peniaga Cina dan memeterai persefahaman supaya mereka jadi pembekal sekali gus merupakan peluang kita menembusi pasaran hab halal makanan di China secara berperingkat.

“Pihak China mahukan bekalan minimum tiga kontena produk burung walit setiap bulan, namun  kapasiti pengeluaran sedia ada hanyalah satu kontena sahaja buat masa ini,” katanya.

Jelasnya, mereka tidak mengehadkan jenis produk yang boleh dipasarkan  asalkan ia mematuhi piawaian keselamatan makanan di China.

“Ini merupakan projek ‘pilot’ kita sebagai hab pasaran di negeri ini dan kita menjangkakan tahun hadapan, kita akan mula mengeksport produk-produk Terengganu secara lebih sistematik,” katanya.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: