Wednesday, 27 November 2019

Bajet 2020: Terengganu Laksana Dua Lagi Manifesto PRU14

SHARE
Dr. Samsuri.

KUALA TERENGGANU, 27 November- Kerajaan negeri mengumumkan akan melaksanakan dua manifesto daripada keseluruhan 20 janji manifesto kerajaan PAS pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menyatakan, sekiranya berlangsung sebagaimana dirancang, ia bakal menambah jumlah janji yang telah dilaksanakan iaitu sebanyak 14 manifesto termasuk yang telah berlangsung sepanjang tahun ini.

"Dua  manifesto yang akan dilaksanakan tahun  depan adalah penubuhan Pusat Pemulihan Dadah Holistik dan Kolej Universiti Al-Quran Terengganu.

"Kita berharap dapat melunaskan agenda manifesto seperti dijanjikan sebelum berakhirnya penggal ini. Kita mohon diberikan panduan dan bantuan daripada Allah SWT," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membuat penggulungan Belanjawan Terengganu 2020 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Iman, hari ini.

Sepanjang hampir dua tahun memerintah, kerajaanTerengganu telah berjaya melaksanakan 12 janji manifesto PRU14.

Melalui pelaksanaan dua lagi manifesto tahun depan, kerajaan negeri masih belum melaksanakan enam janji manifesto pada baki penggal ini.

Manifesto tersebut ialah Tabung Pinjaman Perumahan Rakyat, Bandar Baharu Lestari di setiap daerah, menambah keluasan tanah rizab Melayu kepada 1,000 hektar serta pemberian pencen bulanan sebanyak RM50 kepada warga emas yang layak.

Pembinaan pusat asuhan kanak-kanak di setiap jabatan kerajaan negeri pula sedang berlangsung.

Manakala, Caj Wad Kelas Ketiga Percuma masih belum dilaksanakan kerana menunggu persetujuan daripada kerajaan Persekutuan yang mengelola hospital-hospital.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: