Monday, 25 November 2019

Bajet 2020 : Terengganu Berpotensi Jadi Negeri Pelancongan Sukan

SHARE
Hishamuddin Abdul Karim (kanan). 
KUALA TERENGGANU, 25 November - Terengganu berpotensi menjadi destinasi utama pelancongan sukan di Malaysia berdasarkan pencapaian negeri yang sering menjadi lokasi penganjuran pelbagai kejohanan di peringkat negeri dan antarabangsa.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepuh, Hishamuddin Abdul Karim berkata, industri tersebut akan memberi impak yang cukup besar kepada negeri dalam pelbagai aspek termasuk ekonomi dan pembangunan sukan ke arah yang lebih mapan.

Katanya, pelancongan sukan melalui beberapa acara terutamanya aktiviti berbasikal dilihat mampu merancakkan kunjungan pelancong ke negeri itu.

“Tempoh hari, ‘Tour of Peninsular’ berjaya dianjurkan, Terengganu antara lokasi penting penganjuran dan mampu menarik ribuan pengunjung dari luar Terengganu.

“Oleh itu, kita berharap agar Le Tour De Langkawi (LTDL) untuk 2020 juga akan kembali memilih Terengganu sebagai destinasi kunjungan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap membahaskan Bajet 2020 di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan kerana memasukkan projek pembinaan pusat skuasy negeri di Kompleks Sukan Gong Badak dalam Bajet 2020.

“Ia dilihat bakal membuka peluang kepada atlet negeri untuk lebih berdaya saing dan memiliki peluang yang lebih luas untuk menjadi atlet negara di masa akan datang,” ujarnya.

Sementara itu, Hishamuddin berharap agar Kompleks Sukan Gong Badak yang menjadi hab sukan di peringkat negeri terus diberikan nafas yang baik.

“Pusat latihan pasukan Terengganu Football Club (TFC) perlu diperkasakan dan diberi suntikan yang lebih baik.

“Di samping itu, lebih banyak infrastruktur Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang memerlukan komitmen semua pihak bagi membolehkan ia beroperasi sebaiknya,” tambah beliau.







SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: