Tuesday, 26 November 2019

Bajet 2020 : Seiringkan Pembangunan Spiritual Dan Fizikal

SHARE

KUALA TERENGGANU, 26 November- Bajet Terengganu 2020 yang bertemakan “Membina Generasi Terengganu Sejahtera”, diharapkan mampu membawa seluruh rakyat negeri ini kepada penghayatan syariat Islam, kecintaan terhadap al-Quran dan pengembangan dakwah Islam yang lebih tersusun seiring pembangunan fizikal negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun berkata, ianya sejajar dengan enam inisiatif yang dibentangkan Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dibawah teras empat iaitu 'Melestarikan Kehidupan Sejahtera'.

"Dalam usaha membina generasi yang sejahtera, strategi pertama kerajaan negeri adalah dengan menyediakan sistem sokongan keluarga.

"Ini kerana, cabaran yang ada dalam mana-mana institusi keluarga adalah dalam mengimbangi keperluan hidup dan pengurusan keluarga yang berkualiti, ketidakupayaan dalam mengendalikan urusan kekeluargaan ini akan membawa kepada suatu keadaan yang tidak harmoni," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap membahaskan Bajet 2020 di Wisma Darul Iman, semalam.

Katanya, keputusan untuk meneruskan pemberian bantuan pakaian dan alatan sekolah kepada para pelajar dengan peruntukan sebanyak RM10 juta adalah satu bentuk sokongan dari pihak kerajaan negeri kepada rakyat dalam mengharungi keperitan hidup di masa ini.

Sementara itu, strategi kedua iaitu menitikberatkan penjagaan kebersihan dan kesihatan pula dilihat amat penting kerana Negeri Terengganu ini amat kaya dengan sumber alam semulajadi yang menjadi tarikan para pelancong samada dari dalam ataupun dari luar Negara.

"Mengekalkan kebersihan adalah satu cabaran yang memerlukan komitmen bersama diantara pihak kerajaan dan rakyat.

"Bagaimana kita di pihak kerajaan pada hari ini begitu bersungguh-sungguh mencari jalan untuk menjaga kebersihan di negeri ini namun sekiranya usaha ini tidak diturut sertakan bersama masyarakat, maka ianya akan menjadi usaha yang sukar.

"Kita merasa bangga sebenarnya apabila tandas awam Rantau Abang di negeri ini telah dinobatkan sebagai Tandas Terbaik dalam kategori Asean Best Toilet Standard 2019 – 2021, bersempena dengan Forum Pelancongan Asean 2019 yang diadakan di Ha Long City, Vietnam baru-baru ini," katanya.

Alias berkata, menyediakan kediaman mampu milik untuk rakyat yang menjadi strategi ketiga pula antara perkara yang menjadi fokus utama kerajaan negeri bagi membantu rakyat di negeri ini untuk memiliki kediaman sendiri.

"Saya amat menyokong projek pembinaan rumah mampu milik yang dibentangkan oleh Menteri Besar dengan menyasarkan keutamaan kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

"Umum mengetahui bahawa kos membina unit-unit kediaman ini akan menelan belanja yang besar dan kerana itu kita melihat kerajaan negeri telah membuka peluang baharu kepada para pelabur dengan dasar perumahan yang baharu dengan menyasarkan 4000 unit rumah mampu milik akan dibina melalui kerjasama kerajaan dan swasta ini.

"Kita juga berharap agar kerajaan negeri boleh merancakkan lagi usaha pembinaan ini kepada kawasan-kawasan yang telah diwartakan sebagai tapak projek perumahan yang sedia ada di negeri ini," ujarnya.

Strategi keempat iaitu menjamin kebahagiaan keluarga pula menurutnya, telah diterjemahkan melalui program walimatulurus perdana yang dianjurkan oleh kerajaan negeri.

 "Ianya sangat membantu ahli masyarakat yang kurang berkemampuan untuk mendirikan rumah tangga, dan yang terkini pembukaan program ini kepada golongan bapa dan ibu tunggal pada belanjawan 2020 kali ini sungguh dilihat istimewa," jelasnya.

Beliau berkata, strategi ke lima dengan mengupayakan pelbagai segmen masyarakat merupakan antara usaha kerajaan negeri untuk memperkasakan perpaduan rakyat melalui program berbentuk komuniti dan mengupayakan rakyat dengan bantuan seperti skim keselamatan sosial pemandu teksi, Tabung Darul Iman dan sebagainya.

"Perlu juga kiranya dilihat kembali kepada pembangunan ekonomi rakyat agar kemampuan untuk mereka berdikari dan menjana pendapatan dapat ditingkatkan.

"Contohnya program pembuangan tukun di kawasan-kawasan tangkapan ikan perlu diperhebatkan," ujarnya.

Alias berkata, apa yang dibentangkan Menteri Besar dalam belanjawan kali ini mampu memberi impak yang positif kepada khalayak terhadap penambahbaikkan yang bakal dibuat oleh kerajaan bagi keselesaan rakyat di negeri ini.

"Pertambahan penduduk terutama di kawasan-kawasan luar bandar perlu juga diambil kira keperluannya.

"Bekalan air terawat, tenaga elektrik, rangkaian telefon dan jalan perhubungan desa perlu juga direncanakan dengan seimbang oleh pihak kerajaan negeri sebagai fokus bagi memberi keselesaan bersama diantara penduduk bandar dan luar bandar," tambahnya.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: