Tuesday, 26 November 2019

Bajet 2020 : Segerakan Pembinaan Bangunan Baharu Imtiaz Marang

SHARE

KUALA TERENGGANU, 26 November – Kerajaan negeri diminta segerakan pembinaan bangunan baharu bagi Imtiaz Marang di atas tanah yang telah diluluskan dalam ucapan pembentangan belanjawan pada tahun lepas.

Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong berkata beliau berharap agar kerajaan dapat melaksanakan pembangunannya secepat mungkin memandangkan keperluan mendesak bagi pelajar yang sudah tidak dapat ditampung oleh bangunan yang ditumpangi sekarang.

“Bangunan yang ditumpang pula milik kerajaan persekutuan yang pada bila-bila masa akan diambil alih bagi kegunaan Sekolah Menengah Wakaf Tapai.

“Sekiranya pembinaan tidak dimulakan segera maka kita bimbang ia akan membantutkan perkembangan pembelajaran anak-anak yang sedang mempersiapkan diri mereka sebagai hafiz dan hafizah yang akan mencorak generasi Terengganu sejahtera masa depan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam sesi perbahasan Bajet 2020 di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Sulaiman turut memohon kerajaan negeri memberi perhatian yang lebih serius kepada pembinaan muara Sungai Merchang.

“Pembinaan ini adalah antara keperluan semasa yang perlu diberi perhatian secara lebih serius oleh pihak berkenaan kerana peruntukan telah diluluskan dan kajian juga sudah dijalankan.

“Saya sangat berharap agar kerajaan memberi keutamaan untuk turut sama berperanan bagi membantu kemelut nelayan sungai merchang yang sudah lama mengharapkan penyelesaian segera masalah kecetekan muara Sungai Merchang,” ujarnya lagi.

Tambahnya, muara Sungai Merchang di gunakan oleh hampir semua nelayan pantai bermula dari Merchang, Gong Balai, Pasir Putih dan Jambu Bongkok.

“Kebergantungan penduduk kepada hasil perikanan sangat terjejas apabila muara Sungai Merchang yang menjadi pintu masuk hasil perikanan tidak dapat digunakan disebabkan penambakan muara secara semulajadi oleh pergerakan pasir laut yang tidak terkawal.

“Keadaan ini menjadikan nelayan tidak mempunyai pilihan lain melainkan membahayakan diri dan nyawa serta harta mereka bagi meneruskan kehidupan bagi mengisi perut dan membina keluarga sejahtera dalam perspektif dan kemampuan mereka dengan segala kedaifan yang ada,” kata Sulaiman.













SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: