Sunday, 24 November 2019

Bajet 2020 : RM8 Juta Perkasa Industri Pertanian Terengganu

SHARE
Foto ihsan - BERNAS.

KUALA TERENGGANU, 24 November – Bagi memperkasakan industri pertanian di Terengganu, peruntukan sebanyak RM8 juta akan disalurkan kepada badan-badan berkaitan sektor tersebut bermula tahun depan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar memaklumkan, peruntukan untuk sektor agrikultur itu mampu menjamin sekuriti bekalan makanan, menghasilkan peluang pekerjaan, meningkatkan pendapatan rakyat dan mempelbagaikan sumber pertanian dengan memanfaatkan teknologi baharu.

“Terengganu mempunyai lebih kurang 12 ribu hektar kawasan tanaman padi dengan 5,323 hektar berada di dalam kawasan jelapang padi manakala bakinya berada di luar jelapang padi.

“Dengan kemampuan pengeluaran beras hanya 53 peratus daripada keperluan sebenar beras Terengganu. Pengeluaran hasil padi perlu mencapai 10,000 tan metrik setahun secara konsisten untuk mencukupkan kadar sara diri pengeluaran padi di negeri ini.

Sehubungan dengan itu, kami menaik taraf sistem pengairan dan saliran sawah padi di luar jelapang agar penanaman padi dua kali setahun dapat dilaksanakan serta masalah pengairan yang dihadapi pesawah padi di kawasan tersebut dapat diatasi,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Bajet 2020 di Persidangan Dewan Undangan Negeri, Wisma Darul Iman, hari ini.
Ahmad Samsuri.
Selain itu, kerajaan negeri juga akan meneruskan projek pembangunan Kompleks Pertanian Ajil dan Kompleks Pertanian Sekayu bagi merancakkan lagi sektor pertanian di Terengganu.

“Di samping itu, kita juga akan melaksanakan Bantuan Mekanisasi Pertanian seperti pemberian ‘blower’, pam racun, pam air dan jentera pembajak dengan peruntukan sebanyak RM1.2 juta.

“Seterusnya, sebanyak RM1.05 juta pula disalurkan untuk Projek Transformasi Sistem tanaman tradisional kepada tanaman fertigasi serta projek pembangunan untuk penanaman cendawan, sayur, duku, madu dan buah-buahan,” ujarnya.

Tambah beliau, keberkesanan Skim Bantuan Modal Tani (SBMT) yang membantu ramai petani untuk memulakan perniagaan pertanian telah meyakinkan kerajaan untuk meneruskan pinjaman tersebut.

“Kerajaan negeri bersetuju untuk terus memperuntukkan pinjaman patuh syariah tanpa faedah dengan jumlah sebanyak RM5 juta pada tahun 2020, pinjaman tersebut berjaya membantu ramai petani yang kekurangan modal untuk bertani pada tahun ini.

“Di samping itu juga, kebajikan para petani yang ditimpa musibah akan terus dipelihara iaitu dengan mewujudkan Tabung Bencana Petani. Sebanyak RM500 ribu akan diperuntukan untuk tabung ini,” jelasnya.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: