Sunday, 24 November 2019

Bajet 2020 : RM1.832 Bilion Untuk Terengganu

SHARE


KUALA TERENGGANU, 24 November - Kerajaan negeri mengumumkan peruntukan RM1.832 bilion untuk Bajet 2020 yang bertemakan 'Membina Generasi Terengganu Sejahtera'.

Pada pembentangan bajet kali ini, Terengganu menganggarkan hasil sebanyak RM1.666 bilion sekali gus menjadikanya sebagai bajet defisit iaitu sebanyak 10 peratus (RM166 juta).

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, bagi bajet tahun depan, kerajaan negeri mencadangkan peruntukan sebanyak RM1.832 bilion ringgit untuk perbelanjaan mengurus, diikuti RM700 juta untuk pembangunan dan RM1.63 juta untuk Kumpulan Wang Bekalan Air.

Sementara itu, pendapatan daripada hasil cukai adalah sebanyak RM66.93 juta, hasil bukan cukai sebanyak RM170.37 juta dan terimaan bukan hasil sebanyak RM1.43 billion.

Katanya, daripada jumlah tersebut, 85.41 peratus adalah daripada pemberian Kerajaan Pusat.

"Di bawah perbelanjaan mengurus, sebanyak RM86.83 juta ringgit diperuntukkan bagi perbelanjaan tanggungan seperti yang diperuntukkan oleh undang-undang dan sejumlah RM1.745 bilion ringgit untuk perbelanjaan bekalan.

"Manakala di bawah perbelanjaan bekalan pula sebanyak RM277.59 juta untuk emolumen, RM207.15 juta untuk perkhidmatan dan bekalan, RM28.52 juta untuk aset, RM1.23 billion diperuntukkan untuk pemberian dan kenaan bayaran tetap dan RM1.16 juta untuk lain-lain perbelanjaan," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Bajet 2020 di Persidangan Dewan Undangan Negeri, Wisma Darul Iman, hari ini.

Ahmad Samsuri berkata, di bawah komponen pemberian dan kenaan bayaran tetap, sebanyak RM500 juta akan dicarumkan kepada Kumpulan Wang Pembangunan baki menampung baki semasa sehingga 31 Oktober 2019 iaitu berjumlah RM671 juta.

Tambahnya, sejumlah RM215 juta juga akan diperuntukkan bagi pemberian kepada Pihak Berkuasa Tempatan,  Badan Berkanun dan pelbagai agensi, RM145 juta kepada jabatan-jabatan kerajaan dan RM370 juta bagi pelbagai program di bawah kawalan Pejabat Setiausaha Kerajaan Vot B32- Pelbagai Perkhidmatan.

"Dari segi perbelanjaan pembangunan, sebanyak RM618.49 juta (88 peratus) diperuntukkan untuk pembangunan sosial, RM40 juta(enam peratus) untuk pentadbiran dan sebanyak RM41.6 juta ( enam peratus) untuk ekonomi," katanya lagi.

Beliau juga berkata, belanjawan ini akan didokong oleh lima teras utama dan diperkukuhkan dengan 25 strategi dan 134 inisiatif.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: