Sunday, 24 November 2019

Bajet 2020 : RM17.5 Juta Bina Empat Masjid Baharu

SHARE

KUALA TERENGGANU,  24 November - Kerajaan negeri memperuntukan sebanyak RM17.5 juta bagi membina empat buah masjid baharu di beberapa lokasi terpilih seluruh Terengganu.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata ia bagi mengimarahkan institusi masjid yang bukan sekadar syiar bahkan jantung, hati dan nadi ummah.

"Ini termasuk peruntukan sebanyak RM4 juta untuk kerja-kerja baikpulih dan dan menyelenggara masjid sedia ada.

"Manakala kos sebanyak RM2 juta akan diperuntukkan untuk membaikpulih masjid Pulau Perhentian di Besut bagi kemudahan rakyat di sana," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Bajet 2020 di Persidangan Dewan Undangan Negeri, Wisma Darul Iman, hari ini.

Ahmad Samsuri berkata kerajaan negeri juga menyediakan bantuan pengurusan jawatankuasa masjid yang berjumlah RM1.01 juta melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).

Jelasnya, bantuan ini bertujuan untuk meningkatkan kecekapan pengurusan 514 buah masjid yang ada di seluruh Terengganu.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: