Thursday, 28 November 2019

Bajet 2020 : Peruntukan RM400,000 Naik Taraf Mahkamah Syariah Kemaman

SHARE
Satiful Bahari Mamat.

KUALA TERENGGANU, 28 November - Peruntukan sebanyak RM400,000 telah diluluskan kerajaan negeri tahun ini untuk kerja menaik taraf infrastruktur mahkamah syariah di Kemaman.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat berkata, ia bagi memastikan pentadbiran mahkamah yang sebelum ini menyewa di bangunan milik Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) bertambah lancar.

“Untuk bangunan mahkamah yang baharu bagi daerah Kemaman dan Besut rancangan  tersebut sudah ada cadangan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12),” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Ucapan Belanjawan 2020 pada Mesyuarat Ketiga Penggal Persidangan Kedua Dewan Undangan Negeri Ke-14, di Wisma Darul Iman, di sini semalam.

Mengulas tentang sistem teknologi maklumat di institusi berkenaan, beliau mengatakan kerajaan telah meluluskan sebanyak 10 unit komputer untuk kegunaan di mahkamah tahun ini.

“Kita meluluskan 100 peratus permintaan daripada mahkamah semua daerah yang memohon komputer bagi kegunaan di kaunter-kaunter perkhidmatan.

“Selanjutnya kita akan membuat kajian tentang keperluan ini dari semasa ke semasa dan akan mengganti secara berperingkat,” tambah beliau.

Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ridzuan Hashim mahu kerajaan negeri menyelesaikan masalah infrastruktur dan teknologi mahkamah syariah yang masih jauh ketinggalan dengan mahkamah sivil.

“Masih wujud mahkamah rendah syariah Terengganu yang menyewa di rumah kedai sehingga mendapat respon yang agak sinis daripada orang ramai.

“Termasuk komputer-komputer yang sedia ada khususnya yang berusia melebihi 10 tahun sentiasa rosak dan tidak dapat memenuhi spesifikasi sistem e-Syariah, versi ketiga yang akan dilaksanakan pada tahun hadapan 2020,” jelasnya.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: