Sunday, 24 November 2019

Bajet 2020 : Peruntuk RM14.5 Juta Bagi Rancakkan Pelancongan Dan Kebudayaan

SHARE

KUALA TERENGGANU, 24 November - Kerajaan negeri memperuntukkan RM14.5 juta bagi merancakkan sektor pelancongan dan kebudayaan di Terengganu yang terkenal dengan anugerah khazanah alam semulajadi.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata kepelbagaian produk dan destinasi ini menjadikan Terengganu antara destinasi pelancongan utama negara.

Katanya, ia juga menyaksikan peningkatan kehadiran pelancong sebanyak 9.8 peratus dalam tempoh Januari hingga Ogos 2019 berbanding tempoh yang sama pada tahun 2018.

"Untuk itu, pelancongan akan dipromosikan dengan lebih agresif dan berimpak tinggi menerusi pelbagai saluran domestik serta antarabangsa dengan peruntukan RM4.5 juta.

"Di samping itu, pelbagai 'signature events' akan dirangka dengan partisipasi masyarakat setempat melalui peruntukan sebanyak RM4 juta bagi penganjuran acara sehingga peringkat antarabangsa," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Bajet 2020 di Persidangan Dewan Undangan Negeri, Wisma Darul Iman, hari ini.

Tambahnya lagi, kerajaan negeri juga optimis untuk memajukan Pulau Bidong yang merupakan khazanah warisan sejarah negeri sebagai salah satu produk pelancongan dengan peruntukan RM1 juta.

Menurut Ahmad Samsuri, bagi meningkatkan mutu pengurusan Tasik Kenyir yang mencatat kehadiran pelancong sebanyak 776 ribu orang pada tahun 2018, sebanyak RM3 juta telah diperuntukkan.

Beliau juga berkata kerajaan negeri turut mengambil inisiatif baharu dengan mewujudkan sebuah Perkampungan Budaya di perkarangan Muzium Negeri sebagai salah satu pakej warisan di Terengganu.

"Kerajaan negeri yakin dengan inisiatif yang diperuntukkan sebanyak RM1 juta ini akan dapat terus mengekalkan identiti dan warisan serta budaya masyarakat.

"Sebanyak RM1 juta turut diperuntukkan kepada badan pengurusan rasmi pelancongan dan kebudayaan bagi meningkatkan produktiviti secara optimum dan mampu mempotretkan Terengganu sebagaimana unkapan ' negeri cantik, budaya menarik, orangnya baik-baik', ujarnya.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: