Tuesday, 26 November 2019

Bajet 2020 : Perkasa Syariah Langkah Terengganu Perkukuh Jati Diri Muslim

SHARE
Ahmad Shah.
KUALA TERENGGANU, 26 November - Lima pelan strategi untuk memperkasakan pelaksanaan syariah yang dibentangkan dalam Bajet 2020 Negeri Terengganu oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar kelmarin dilihat sebagai usaha yang amat baik dalam memperkukuhkan jati diri Muslim di negeri itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed berkata, pelan tersebut merupakan antara penyelesaian kepada isu-isu hangat yang melanda umat Islam dalam negara pada masa kini.

“Hari ini, kita melihat walaupun termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan agama Islam sebagai agama rasmi, sudah ada ruang-ruang dan juga pihak yang berani mempertikaikannya.

“Malah, bukan sahaja masalah agama Islam, ia terus berantai dengan masalah hak istimewa orang melayu bahkan kedudukan kedaulatan raja-raja juga diperkecil dan diperlekehkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam sesi perbahasan Bajet 2020 di Wisma Darul Iman, semalam.

Ahmad Shah turut menyatakan, pelaksanaan lima strategi iaitu merancakkan program keagamaan dan penghayatan syariat Islam, menyemarakkan kecintaan terhadap al-Quran, mengembangkan dakwah Islam, mengimarahkan institusi masjid dan membangunkan institusi pendidikan Islam merupakan usaha yang perlu digarap bersama.

“Fenomena ini telah menyebabkan rakyat menjadi resah, bagaimana mungkin sebuah negara yang mempunyai majoritinya Muslim Melayu tidak dapat mempertahan apabila ada pihak yang mempertikaikan Islam sebagai Agama Persekutuan, bahkan kita melihat baru-baru ini penghinaan kepada Rasulullah SAW juga menjadi begitu serius dan ini merupakan sesuatu yang amat memalukan kita umat Islam di seluruh Malaysia.

“Justeru, keputusan kerajaan negeri untuk menumpukan teras Memartabatkan Pelaksanaan Islam perlu disokong oleh semua pihak dalam usaha kita membentuk generasi masa depan dengan jati diri Muslim yang kukuh,” katanya.



SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: