Tuesday, 26 November 2019

Bajet 2020 : Laksanakan Dasar Integriti Secara Serius

SHARE
Hishamuddin Abdul Karim.
KUALA TERENGGANU, 26 November - Dalam mengurus belanjawan negeri yang mencabar, Dasar Integriti Darul Iman (DIDI) harus diaplikasikan secara menyeluruh dan serius di setiap peringkat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepuh, Hishamuddin Abdul Karim menegaskan, pemimpin dan pekerja yang berintegriti dalam setiap tugasan mampu melonjakkan prestasi kerajaan serta kewangan negeri walaupun dibebani pelbagai ancaman dari dalam dan luar.

Katanya, elemen-elemen seperti kriteria berimpak tinggi, memacu pertumbuhan ekonomi, mensasarkan keperluan golongan miskin dan menjana peluang pekerjaan hendaklah menjadi keutamaan pihak kerajaan.

“Perkhidmatan untuk rakyat sewajarnya dijadikan sebagai tanggungjawab dan bukannya untuk mencipta kekayaan peribadi melalui jalan yang salah.

“Sama ada kita bergelar wakil rakyat mahupun kakitangan awam, kerja secara konsisten, berkualiti serta berdaya tahan perlu dijadikan budaya dalam perkhidmatan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap membahaskan Bajet 2020 di Wisma Darul Iman di sini semalam.

Menurut beliau, setiap daripada kakitangan awam termasuk wakil rakyat seharusnya mempunyai inisiatif untuk mengkaji kembali sistem dan prosedur kerja supaya proses membuat keputusan dan tindakan dapat dipercepatkan.

“Janji-janji dalam piagam pelanggan hendaklah sentiasa disemak bagi memastikan ia sesuai dengan pelanggan dan persekitaran, kerana isu berkenaan juga berkait dengan integriti.

“Tidak kurang pentingnya untuk melihat kembali kelemahan dokumen kontrak kita sehingga menyebabkan kerajaan berdepan dengan kerugian,” jelasnya.

Tambah Hishamuddin, isu-isu terdahulu yang melibatkan masalah integriti wajar dijadikan sebagai pengajaran agar ia tidak berulang pada masa hadapan sekali gus mampu memacu negeri maju, berkat dan sejahtera.



SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: