Tuesday, 26 November 2019

Bajet 2020 : Kerajaan Pusat Disyor Potong Royalti Untuk Hutang Cukup Tempoh Matang Sahaja

SHARE
Hishamuddin Abdul Karim.

KUALA TERENGGANU, 26 November – Kerajaan Persekutuan digesa untuk menimbangkan kaedah pemotongan 25 peratus amaun Wang Tunai Petroleum (royalti) untuk pembayaran semula hutang kerajaan negeri, hanya melibatkan jumlah yang cukup tempoh matang sahaja.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepuh, Hishamuddin Abdul Karim menegaskan, pembayaran tanpa mengambil kira tempoh matang hutang adalah sangat mengejutkan.

Katanya, kajian semula itu wajar dilakukan bagi memberi kesaksamaan kepada kerajaan negeri untuk melakukan agenda pembangunan dalam negeri dan rakyat.

“Jumlah baki hutang sehingga 31 Oktober 2019 adalah berjumlah RM310 juta. Lebih mengejutkan baki hutang ini akan membabitkan sejumlah hutang yang belum cukup tempoh matang.

“Daripada RM310 juta, hanya RM68 juta sahaja hutang yang cukup tempoh matang. Manakala RM242 juta pula mengikut kontrak perjanjian akan bermula 2021,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Bajet 2020 di Wisma Darul Iman, di sini semalam.

Tambah beliau, kerajaan negeri masih memerlukan dana yang mencukupi untuk pelaksanaan pelbagai agenda kepada rakyat pada tahun hadapan.

“Tidak lain dan tidak bukan, demi melihat kelangsungan pertumbuhan ekonomi yang lebih mapan dan berdaya saing. Dengan melihat kepentingan rakyat dan negeri sewajarnya semua ahli politik bergandingan,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, beliau merasa dukacita apabila ada pemimpin politik hari ini masih ingin mengamalkan sikap dendam dan khianat.

“Pada 9 November 2019, dilaporkan bahawa pemimpin Pakatan Harapan Terengganu mahu wang royalti diuruskan oleh agensi kerajaan pusat.

“Kekesalan ini saya rakamkan dalam persidangan ini kerana kebanyakan yang inginkan royalti minyak ini diuruskan oleh agensi pusat adalah dari kalangan pejuang royalti suatu ketika dahulu.

“Saya mengharapkan agar hasrat ini tidak diteruskan. Malah sepatutnya kita perlu berganding bahu antara kita sesama Terengganu demi meningkatkan ekonomi negeri,” tambah beliau.




SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: