Tuesday, 26 November 2019

Bajet 2020 : Kempen VMF Mampu Tarik Pelancong Ke Terengganu

SHARE
Khalil cadang kerajaan negeri ambil peluang konsep VMF.


Oleh: Fidee Aziz

KUALA TERENGGANU, 26 November –Kerajaan negeri perlu memanfaatkan penularan kempen Buy Muslim First (BMF) dengan memperkenalkan konsep Visit Muslim First (VMF) untuk menarik minat pelancong-pelancong khususnya daripada negara-negara Islam datang ke Negeri Terengganu.

Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Batu Buruk,Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, kempen tersebut dapat memperkenal Terengganu sebagai destinasi percutian terbaik untuk para pelancong beragama Islam.

“Kerajaan Negeri boleh mengadakan ‘road show’ untuk menarik pelancong-pelancong daripada negara-negara Timur Tengah sesuai VMF sebagaimana penularan kempen BMF yang membawa keuntungan kepada masyarakat Muslim.

“Qatar Airways telah membuat penerbangan terus dari Doha ke Langkawi berikutan tarikannya kepada pengunjung dari Qatar. Saya percaya jika kita dapat membuat satu kempen agresif san strategic, tidak mustahil pesawat ini akan mendarat di Kuala Terengganu suatu hari nanti,” katanya ketika  berucap membahaskan Bajet 2020 di Wisma Darul Iman, hari ini.

Menurutnya, bagi merancakkan lagi industri pelancongan negeri, kerajaan negeri juga perlu mempercepatkan pembinaan jalan raya yang menghubungkan antara susur keluar Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) Kuala Telemong ke simpang Tasik Kenyir.

“Saya percaya, pelaksanaan ini akan meningkatkan kedatangan pengunjung ke sana dari dalam dan luar negara.

“Keindahan alam semulajadi Terengganu tidak jauh bezanya dengan Phuket dan gugusan kepulauan di Thailand, Bali, Lombok dan beberapa destinasi di Indonesia, Barocay, Palawan dan gugusan pulau di Filipina malah boleh saya katakan sebenarnya Terengganu memiliki pelbagai kelebihan berbanding negara – negara tersebut,” tambahnya.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: