Wednesday, 27 November 2019

Bajet 2020: Galak Pemakaian Batik, Langkah Pelihara Khazanah Tradisi- Muhammad Khalil

SHARE
Khalil lihat keperluan penglibatan kerajaan dalam mempromosikan batik Terengganu. 


KUALA TERENGGANU, 27 November- Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil mencadangkan kerajaan negeri supaya mempergiatkan pemakaian batik Terengganu secara meluas bagi mempromosi khazanah tradisi itu.

Beliau menyatakan penguatkuasaan dari pihak kerajaan tentang pemakaian batik juga dapat mengangkat produk negeri ke peringkat lebih tinggi.

"Jawatankuasa pelancongan sewajarnya menjalankan promosi lebih hebat seperti mengadakan Hari Batik Sedunia dalam memperkenalkan batik Malaysia, khususnya Terengganu kepada dunia luar.

“Pelaksanaan pemakaian batik terutama oleh sekolah-sekolah milik kerajaan negeri akan membuka peluang lebih luas kepada pengusaha-pengusaha batik tempatan,” katanya ketika berucap dalam perbahasan Bajet 2020 di Wisma Darul Iman, semalam.

Dalam perbahasan itu, beliau turut menekankan bahawa kerajaan perlu lebih giat dalam memasarkan produk-produk anak negeri ke pasaran luar.

Tegasnya, produk- produk Terengganu memiliki potensi tinggi untuk dipasarkan secara lebih meluas lebih-lebih lagi dengan penularan kempen Buy Muslim First (BMF) yang di kalangan masyarakat.

“Kita bukan boikot. Kita cakap melalui keutamaan sebagai Muslim untuk membantu  dan menyokong perusahaan sesama Muslim.

“Melalui peluang ini, produk kita seperti Pertima dan T-Kitchen dapat dipasarkan dengan lebih luas di dalam dan luar negara,” katanya.

Berdasarkan rekod, batik merupakan satu bidang kraftangan yang unggul di Malaysia sejak abad ke 15 Masihi lagi dengan kilang perusahaan batik banyak terdapat di Terengganu.  

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: