Tuesday, 26 November 2019

Bajet 2020 : Elak Kebergantungan Kepada Sumber Minyak Dan Gas

SHARE


KUALA TERENGGANU, 26 November- Kerajaan negeri perlu mencari alternatif untuk meningkatkan hasil negeri bagi mengelakkan kebergantungan kepada hasil petroleum dan gas.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hapandi Wan Nik berkata, pendapatan atau hasil negeri saban tahun bergantung kepada hasil petroleum dan gas sekitar 85 hingga 86 peratus sementara hasil cukai dan bukan cukai sekitar 14 peratus.

“Maka perkara ini berkali disebut sebagai satu muhasabah kepada kerajaan supaya dapat sama-sama berusaha untuk meningkatkan hasil negeri kita dan kalau boleh kita dapat keluar daripada zon selesa iaitu bergantung kepada hasil petroleum dan gas sahaja,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap membahaskan Bajet 2020 di Wisma Darul Iman, semalam.

Dalam pada itu, Wan Hapandi turut memohon kerajaan negeri memberi perhatian serius terhadap sektor pelancongan negeri khususnya di daerah Dungun.

“Menerusi peruntukan sebanyak RM4.5 juta untuk sektor pelancongan, diharapkan pihak Exco Pelancongan dapat memajukan kawasan pelancongan di persisiran Sungai Dungun.

“Secara tidak langsung ianya boleh meningkatkan kedatangan pelancong ke daerah Dungun dan juga Negeri Terengganu sendiri,” ujarnya.

Pada sesi perbahasan itu juga, beliau turut mengambil kesempatan untuk berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana bersedia mewujudkan pusat pemulihan dadah dengan peruntukan yang diberi sebanyak RM4 juta dalam usaha membangunkan modal insan rakyat negeri ini.

“Saya mengharapkan dengan wujudnya pusat ini, insyaAllah sekurang-kurangnya kita dapat mengatasi masalah sosial di kalangan remaja.

“Ini satu masalah yang kita perlu fikir bersama dalam usaha kita untuk melahirkan modal insan yang dapat memberi manfaat kepada negeri dan negara,” ujarnya.

Wan Hapandi turut merakamkan ucapan terima kasih atas kecaknaan kerajaan negeri menyediakan peruntukan RM13.2 Juta bagi kemudahan sukan dan fasiliti.

“Saya mengharapkan Exco Belia Sukan dan NGO negeri dapat menyediakan sebuah mini stadium untuk perkembangan aktiviti anak muda di Dungun kerana daerah ini masih belum mempunyai prasarana sukan yang lengkap seperti di beberapa daerah lain," katanya.

Menurut beliau, sesuai dengan tema “Membina Generasi Terengganu Sejahtera”, diharapkan dengan belanjawan 2020 ini dapat membantu rakyat untuk mendapatkan kehidupan selesa dan sejahtera.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: