Tuesday, 26 November 2019

Bajet 2020 : Bentuk Modul Khusus Bimbingan Keluarga

SHARE

KUALA TERENGGANU, 26 November- Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Ab. Razak Ibrahim mencadangkan satu modul khusus untuk bimbingan kekeluargaan dibentuk diperingkat kawasan masing-masing bagi mengatasi masalah anak-anak yang lemah dan kurang disiplin di sekolah.

Katanya, perkara tersebut penting kerana anak-anak adalah insan yang dapat memperbaiki kehidupan  keluarga, kerana keluarga bahagia terbentuk melalui isi rumah yang berilmu.

“Maju dan berdaya saingnya sesuatu ummah berkaitan rapat dengan pembangunan modal insan. Rakyat yang merempat miskin akan terbela dengan ilmu, malah Terengganu turut mencipta kecemerlangan di dalam pendidikan dan prestasi ini harus dijaga.

“Program yang melibatkan ketua keluarga dalam memberi input yang baik berhubung dengan pendidikan anak-anak sangat diperlukan.

“Sering kedengaran suara daripada ibu bapa yang kecewa dengan anak yang lemah, begitu juga dengan anak-anak yang menghadapi masalah disiplin, ibu bapa buntu menghadapi suasana sedemikian,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap membahaskan Bajet 2020 di Wisma Darul Iman, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut mengharapkan kerajaan negeri memberi keutamaan terhadap usaha melestarikan kehidupan sejahtera dengan memperbanyakkan kediaman selesa untuk rakyat.

“Hasil kajian mudah telah dibuat oleh Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Putih iaitu dengan mengedar borang kajian keperluan Rumah Mampu Milik (RMM)  melalui Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) kepada 4000 orang yang tinggal dalam kawasan ini.

“Hasilnya didapati lebih kurang 3,186 orang memerlukan rumah, manakala selebihnya mereka memilih lot tanah tapak rumah untuk bina rumah dan kebanyakannya berumur diantara 23 tahun hingga 55 tahun dan malang sekali masih ada lagi mereka yang umur melebih 60 tahun keatas belum lagi memiliki rumah,” ujarnya.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: