Tuesday, 26 November 2019

Bajet 2020 : Amalkan Budaya Politik Sihat Dan Matang

SHARE

KUALA TERENGGANU, 26 November – Kerajaan negeri mengamalkan budaya politik matang dan sejahtera di dalam mentadbir Terengganu adalah untuk kebaikan semua tanpa mengira bangsa dan warna politik demi negara dan rakyat tercinta.

Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN) Ajil, Maliaman Kassim berkata  kematangan berpolitik di Terengganu telah meningkat dan merupakan satu  perkembangan yang  bagus serta sangat baik untuk rakyat.

Katanya lagi, jika diperhatikan belanjawan yang dibentangkan oleh YAB Menteri Besar sebelum ini, ia mencakupi keperluan dunia dan akhirat, rohani, jasmani, material dan spiritual yang merupakan satu daripada asas yang kukuh untuk membina generasi seimbang.

“Cuma didalam aspek pendidikan saya mahu sentuh sedikit berkenaan dengan kematangan politik yang ada pada hari ini dan kerajaan kita merupakan kerajaan PAS dengan sokongan sahabat- sahabat daripada UMNO.

“Kita bukan masuk mahu kempen politik dan jika kita masuk ke kawasan sekolah pun bukan kita mahu berkempen dan masuk atas jemputan sahabat- sahabat di sekolah yang mana  pengetua serta guru- guru besar ini memang sahabat kita dan saya rasa Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) pun tidak ada masalah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap membahaskan Bajet 2020 di Wisma Darul Iman di sini semalam.

 Tambahnya lagi, dengan jawatan sebagai Timbalan Exco Pendidikan, beliau berhak masuk ke sekolah-sekolah di samping menyampaikan sumbangan yang diperlukan.

“Kita bukan nak masuk berkempen tetapi kita nak masuk atas kapasiti saya sebagai Timbalan Exco Pendidikan dan saya pula bekas guru dan jiwa kita ini bila masuk ke sekolah kita rasa seronok selain boleh juga beri sumbangan kepada sekolah.

“Tetapi oleh keranan wujudnya politik yang tidak matang tetapi banyak jugalah sekolah yang tidak boleh masuk. Itulah peliknya kita ni jadi macam wujud kekeliruan, ada yang boleh masuk dan ada yang tak boleh masuk.

“Kalau politik tidak matang kita bimbang pelajar jadi mangsa dan di sini kita nampak wujudnya elemen yang kadang- kadang bukan semua berlaku yang kita harapkan sahabat- sahabat di kementerian untuk bersama- sama membantu untuk anak bangsa kita maju dari sudut pendidikan dan sebagainya,” ujarnya.

Beliau juga turut menyentuh tentang kebergantungan masyarakat kepada wakil rakyat walaupun melibatkan hal yang terlalu kecil.

“Satu perkara lagi hal yang berlaku di kawasan- kawasan pedalaman tentang kebergantungan rakyat kita kepada wakil rakyat terlalu bergantung sangat sampai tercabut atap sekeping pun cari wakil rakyat.

“Saya nampak kita kalau boleh pihak kerajaan sendiri mesti ada satu usaha bagaimana kita nak mengurangkan sedikit kebergantungan orang ramai kepada wakil rakyat sebab mereka juga mempunyai tanggungjawab sebenarnya,”  kata Maliaman.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: