Friday, 29 November 2019

Bacaan Empat Sungai Di Terengganu Lepasi Paras Bahaya

SHARE


KUALA TERENGGANU, 29 November - Hujan lebat di Setiu dan Besut yang berlarutan sejak malam tadi menyebabkan paras air di beberapa sungai di dua daerah itu meningkat melepasi paras bahaya pagi ini dan ada jalan yang terpaksa ditutup kepada semua jenis kenderaan akibat dinaiki air.

Menurut laporan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui portal http://publicinfobanjir.water.gov.my/, tiga sungai di Setiu telah merekodkan bacaan melepasi paras bahaya setakat pukul 10.45 pagi ini iaitu Sungai Nerus di Kampung Langkap dengan 21.26 meter (m) melebihi paras bahaya 21 m.

Dua lagi ialah Sungai Setiu di Kampung Besut mencatatkan bacaan 17.87 m melepasi paras bahaya 17.5 m dan Sungai Chalok di Jambatan Chalok iaitu 8.48 m melepasi paras bahaya 8.40 m.

Di Besut, Sungai Besut di Kampung La merekodkan bacaan 23.01 m melepasi paras bahaya 21.8 m.

Selain itu, portal tersebut turut melaporkan beberapa sungai di Hulu Terengganu dan Dungun turut mencatat peningkatan melebihi paras waspada dan amaran.

Dalam pada itu, menurut Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Setiu, ketika ini, Jalan Permaisuri ke Hulu Seladang ditutup kepada semua jenis kenderaan kerana dinaiki air setinggi 0.8 m sepanjang 500 m dan buat masa ini tiada jalan alternatif untuk ke kawasan tersebut.

Di daerah Besut pula, Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah melaporkan hujan lebat menyebabkan Felda Tenang dilanda banjir namun setakat ini, tiada pemindahan mangsa dilakukan. 

Jalan Jertih/Pasir Akar/ Keruak pula ditutup kepada semua jenis kenderaan ringan kerana dinaiki air setinggi 0.35 m sepanjang 400 m.

Orang ramai dinasihat agar mematuhi arahan pihak berkuasa untuk tidak menggunakan jalan tersebut bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini. - BERNAMA  


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: