Saturday, 16 November 2019

Anuar Manan Cabar Pelumba Malaysia

SHARE
Anuar Manan.

HULU TERENGGANU, 16 November – Anuar Manan, 33, mencabar semua atlet berbasikal Malaysia untuk menyaingi atau memecahkan rekod peribadinya yang merangkul jersi hijau keseluruhan dalam kejohanan Le Tour De Langkawi (LTDL) 2010.

Kejayaan itu menyaksikan Anuar muncul sebagai pelumba pertama Asia dan Malaysia yang memenangi perlumbaan peringkat LTdL 2010 sejak ia diperkenalkan pada 1996.

Bekas pelumba sensasi negara itu berkata, cabaran berkenaan turut diberikan kepada semua peminat lumba basikal tanah air sama ada untuk melunaskanya dalam pertandingan sama atau kejohanan besar lain.

“Saya mencabar sesiapa yang mampu menyamai pencapaian saya yang memenangi peringkat dan jersi hijau keseluruhan dalam LDTL 2010.

“Sekiranya ada pelumba yang menyamai atau memecahkan rekod tersebut di dalam LTDL ataupun kejohanan besar lain, saya akan kembali aktif berkayuh dan menyertai kejohanan besar,” ujarnya.
Kejayaan Anuar (belakang paling kiri) dalam LTDL 2010 merupakan pencapaian terbaik atlet berbasikal negara.
Anuar berkata demikian ketika ditanya mengenai karier berbasikalnya selepas menyertai Kejohanan Lumba Basikal LPT2 De’ Perasing-Ajil di kawasan Rawat dan Rehat (RnR) Ajil, di sini hari ini.

Sebagai rekod, anak jati Terengganu itu melakar sejarah dengan memenangi saingan peringkat kelima LDTL 2010 sekali gus melayakkannya merangkul jersi hijau.

Dia yang mewakili pasukan Geumsan Ginseng Asia ketika itu berjaya mengekalkan jersi berkenaan sehingga tamat LTDL edisi ke-14 dan bergelar raja pecut keseluruhan.

Sementara itu, dalam kejohan LPT2 De’ Perasing yang berakhir tengah hari tadi, Anuar berjaya menempatkan diri dalam kedudukan keempat keseluruhan dalam kategori ‘Mountain Bike’.



SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: