Wednesday, 27 November 2019

63 Pelumba Terbaik Dunia Berebut Mahu Sertai TSG

SHARE

Kejayaan TSG menarik minat pelumba terbaik dunia. 
KUALA TERENGGANU, 27 November - Pasukan lumba basikal bertaraf benua, Terengganu Inc Cycling Team (TSG) kini menjadi tumpuan 63 pelumba terbaik antarabangsa selepas kejayaan pasukan itu muncul sebagai juara dalam Jelajah Asia musim ini.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TSG, Che Ku Mohd Izmuddin Che Ku Mahmood berkata, sehingga bulan ini pihaknya telah menerima 63 permohonan daripada pelumba handalan seluruh dunia yang mahu menyertai TSG untuk mengisi kuota luar negara.

Walau bagaimanapun ujarnya, perkembangan itu tidak akan mengubah keputusan pihaknya untuk mengekalkan khidmat sembilan pelumba tempatan yang juga anak Terengganu.

“Setakat ini kami masih kekalkan pelumba sedia ada terutama pelumba tempatan bagi tahun depan tetapi musim baharu akan bermula dan kita akan mengkaji prestasi mereka dari semasa ke semasa.

“Kami tidak akan terburu-buru untuk membuat sebarang keputusan termasuk membabitkan tujuh pelumba import sedia ada, dalam TSG kita ada jawatankuasa teknikal bagi menilai prestasi semasa latihan dan mana-mana kejohanan,” jelasnya.
Wan Sukairi beramah mesra dengan pelumba handalan TSG.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis meraikan kejayaan pasukan TSG di Dewan Gamelan, Hotel Primula di sini semalam.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah, Timbalannya, Hishamuddin Abdul Karim dan Pengarah Eksekutif TSG, Tengku Seri Bijaya Raja.

Menurut beliau, TSG juga bercadang untuk menggunakan khidmat dua pelumba daripada pasukan akademi TSG iaitu Wan Muhammad Hamizan Ifwat Wan Badrulfadli Sham dan Wan Abdul Rahman Hamdan ke pasukan utama musim depan yang bermula Disember ini.

“Mereka berdua menunjukkan prestasi, disiplin dan kematangan yang menarik dan ia merupakan antara kualiti terpenting pelumba dalam menggalas cabaran besar di pasukan elit,” tambah beliau.

Dalam pada itu, Wan Sukairi sangat berbangga dengan pencapaian luar biasa TSG yang sekali gus dapat mengharumkan nama negeri dan negara di pentas dunia.

“Alhamdulillah TSG berjaya merealisasikan impian seluruh rakyat Terengganu yang ingin melihat pasukan ini gah di mata dunia dan Insya-Allah kelebihan yang ada ini kita akan kekalkan untuk musim mendatang,” katanya.



SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: