Saturday, 16 November 2019

2,150 Pelumba 'Banjiri' LPT2- De’Perasing Ride 2019

SHARE



Peserta De'Perasing Ride kali ini lebih ramai berbanding tahun-tahun lalu.

HULU TERENGGANU, 16 November- Lebih 2,150  pelumba basikal 'membanjiri' Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) sempena acara kayuhan LPT2 De’Perasing Ride 2019- Ajil Challenge yang berlangsung, pagi ini.

Menurut Pengarah LPT2 Sdn. Bhd., Zakaria Ahmad Zabidi, jumlah penyertaan acara kayuhan anjuran bersama kerajaan negeri itu bertambah dua kali ganda berbanding kali pertama dianjurkan pada 2017.

"Acara De'Perasing Ride kali ini juga memberi kelainan apabila kita beralih ke lokasi berpusat di Kawasan Rehat dan Rawat (RnR) Ajil yang menampilkan cabaran baru dari segi perbezaan bentuk muka bumi kepada pelumba.
Wan Sukairi bertindak melepaskan peserta kayuhan De'Perasing Ride 2019.


"Insya-Allah, kita akan terus mengadakan De' Perasing Ride dengan lebuhraya kita yang menjangkau sejauh 184 kilometer dan kita memiliki tiga kawasan RnR iaitu Ajil, Paka dan Perasing yang berpotensi pada masa akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di RnR Ajil, hari ini.

Laluan Ajil saji cabaran baharu buat peserta.
Upacara pelepasan peserta disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah.

Zakaria turut menyatakan, pemilihan Ajil sebagai lokasi turut menarik tumpuan lebih ramai peminat sukan berbasikal kerana kedudukannya yang lebih dekat dengan bandar Kuala Terengganu.

Acara berkenaan turut mendapat perhatian dengan kehadiran peserta dari Brunei, Thailand dan Singapura.

De' Perasing Ride menjadi salah satu acara berbasikal terbesar di Pantai Timur dengan menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM58,000.

Lebih 600 peserta bertanding di kategori 100 km.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: