Saturday, 23 November 2019

1,500 Rakyat Terengganu Zahir Seruan Henti Keganasan Terhadap Wanita

SHARE
Jambatan angkat Terengganu menjadi laluan utama program Orange Batik Run.


KUALA TERENGGANU, 23 November- Seramai 1,500 individu pelbagai lapisan masyarakat menzahirkan seruan pembelaan kepada wanita dalam Orange Batik Run di Pasarnita, di sini, hari ini.

Program Orange Run diadakan sempena 'Karnival Kitakan Keluarga' bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat  agar tidak terlibat dalam sebarang bentuk keganasan terhadap wanita.

Pengerusi Jawatankuasa pembangunan Wanita& Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, kerajaan negeri sentiasa menyokong usaha Jabatan Pembangunan Wanita(JPW) dalam melaksanakan pelbagai program khusus menangani keganasan terhadap wanita sepanjang tahun 2019 melalui pelbagai medium antaranya pameran, forum ceramah dan lain-lain.
Kerajaan negeri menyokong penuh usaha pembelaan kepada wanita-Hanafiah.

"Penganjuran program ini juga mampu menjadi platform kepada golongan berkenaan agar berani tampil kehadapan untuk tidak terus menjadi mangsa keganasan.

“Kerajaan Negeri secara asasnya akan terus menjaga dan memastikan aspek keganasan terhadap wanita ditangani dengan sebaiknya selari dengan usaha mewujudkan masyarakat Terengganu yang Maju, Berkat dan Sejahtera," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sewaktu merasmikan karnival tersebut, hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita, Zuraida Md Noor dan Pengarah JPW negeri, YM Raja Kamariah Raja Abdul Rahman.
Tema batik diangkat sesuai identiti Terengganu.

Hadir sama, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Kontinjen Terengganu, Penolong Pesuruhjaya Ramzi Mohd Gunnos serta Timbalan Pengarah Pusat Pemindahan Ilmu & Jaringan Industri Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Zuha Rosufila Abu Hassan.

Dalam karnival berkenaan, pelbagai agensi berkaitan wanita dan masyarakat turut hadir mempamerkan perkhidmatan yang boleh dimanfaatkan oleh masyarakat.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: