Wednesday, 13 November 2019

Wakil Rakyat Terengganu Terdiri Dari Alumni Madrasah ‘Dar’

SHARE

Adik Ahmad Daniel (tengah) menerima sijil kecemerlangan dari Ustaz Ismail (tiga dari kiri).
MARANG, 13 November – Beberapa orang wakil rakyat Terengganu hari ini pernah menjadi pelajar di Madrasah ‘Dar’ di seluruh negeri itu.

Ketua Dewan Ulama PAS Terengganu, Ustaz Ismail Osman berkata, mereka termasuk Ahli Dewan Undangan (ADUN) Tepoh, Ustaz Hishamuddin Abdul Karim, ADUN Manir, Ustaz Hilmi Harun, ADUN Batu Burok, Ustaz Mohd Khalil Abdul Hadi dan ADUN Pengkalan Berangan, Ustaz Sulaiman Sulong,

Katanya, ini menunjukkan bahawa sekolah-sekolah ‘Dar’ memberi sumbangan besar kepada pendidikan negeri dalam melahirkan kepimpinan kerajaan hari ini.

Ustaz Ismail Osman

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengisytiharkan Keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah Islam (UPSRI) 2019 di Madrasah Darul Iman Kampung Titian Baru Bukit Payung di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Lajnah Persekolahan Dewan Ulama PAS Negeri Terengganu (DUPNT), Ustaz Ibrahim Tahir dan Mudir Madrasah Darul Iman, Ustaz Mazlan Ibrahim.

Ustaz Ismail berkata kurikulum ‘Dar’ Terengganu turut menjadi model kurikulum Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) kerajaan negeri dan beberapa buah sekolah persendirian negeri lain termasuk di negeri Melaka.

Ustaz Azhar, Mudir Madrasah Darul Taqwa (kanan) menerima sijil UPSRI untuk pelajar sekolah berkenaan dari Ustaz Ismail (tengah).

Menurutnya lepasan pelajar berkenaan boleh terus menyambung pelajaran peringkat menengah di Madrasah Darul Quran Rusila di sini tanpa mengikuti sesi temuduga untuk kemasukan baru di sekolah berkenaan tahun depan.

Terdahulu Ustaz Ismail mengisytiharkan sekolah Madrasah Darul Taqwa Batu Enam Jalan Kelantan Kuala Nerus sebagai sekolah ‘Dar’ terbaik dalam pencapaian UPSRI tahun ini mengatasi sekolah lain di seluruh negeri Terengganu.

Dua pelajar sekolah tersebut mendapat markah penuh 13A, empat pelajar mendapat 12A, tujuh pelajar (11A) dan enam pelajar (10A).

Pelajar Madrasah Darul Iman hadir di Majlis Pengisytiharan Kecemerlangan UPSRI 2019.
Sementara itu, Adik Ahmad Daniel Ahmad Shukrin dari Madrasah Darul Iman di sini diisytiharkan pelajar terbaik peperiksaan tersebut dengan mendapat markah penuh 13A.

Ahmad Daniel mendapat 92.8 peratus markah keseluruhan termasuk 96.4 peratus dalam mata pelajaran Diniah (agama) dan 88.5 peratus dalam mata pelajaran umum.



SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: