Tuesday, 12 November 2019

1,033 Anak Taska YPKT Hafaz Muqaddam

SHARE

KUALA TERENGGANU, 12 November - Seramai 1,033 anak-anak Taska Permata Keluarga, Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) berjaya menghafaz Muqaddam (23 surah lazim) bagi tahun 2019.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, Majlis Penyampaian Sijil Hafaz Muqaddam 2019 dan Graduasi diadakan secara berperingkat mengikut parlimen masing-masing.


“Untuk hari ini, kita raikan seramai 538 orang kanak-kanak empat tahun bagi Parlimen Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Marang.

“Ianya melibatkan 231 kanak-kanak dari sembilan buah taska di Kuala Terengganu, 192 kanak-kanak dari sembilan buah taska di Kuala Nerus dan 115 kanak-kanak dari tujuh buah taska di Marang,” ujarnya ketika berucap merasmikan Majlis Penyampaian Sijil Hafaz Muqaddam 2019 dan Graduasi Taska Permata Keluarga YPKT yang berlangsung di Dewan Besar, Wisma Darul Iman di sini hari ini.


Katanya, program hafaz ini bertujuan menanam rasa cinta kepada al-Quran dan ke arah pembentukan akhlak mulia dalam diri anak-anak sejak awal usia.

“Pendidikan sewaktu kecil amat penting dan ianya umpama memahat pada batu kerana setiap apa yang dipelajari anak-anak mudah diingati oleh mereka.

“Aktiviti pembelajaran seperti menghafaz dan mengingat secara berulang-ulang secara tidak langsung akan meningkatkan kognitif, daya dan proses berfikir di kalangan kanak-kanak,” ujarnya.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: