Wednesday, 16 October 2019

Yusaima Hanya Sempat Panggil Suami

SHARE


 
Kedai Laksa Penang di Seberang Takir terbakar dalam masa 10 minit.
Oleh: Nizam at-Takiri

KUALA NERUS 16 Oktober - Isteri Pemilik Kedai Laksa Penang Kampung Batin Seberang Takir di sini Yusaima Ibrahim, 34 hanya sempat menelefon suaminya jam 2.30 petang Ahad lalu apabila kedai itu dijilat api dalam masa 10 minit.

Beliau hanya berputih mata melihat seluruh kedai berukuran 40 kaki persegi  yang terletak di bahu jalan berhampiran Sekolah  Menengah Kompleks Seberang Takir  itu terbakar hangus dan tidak ada sebarang peralatan kedai  dapat diselamatkan.

Menurut Yusaima kebakaran berlaku terlalu cepat sehingga tidak sempat untuk meminta bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat bagi memadamkan kebakaran tersebut.
Ustaz Wan Yusrizal (kiri) menemui Wan Mohd Fahmi di rumahnya untuk bertanya khabar.

Yusaima berkata, semasa kejadian beliau sedang membasuh pinggan di dapur kedai itu tiba-tiba api marak dipercayai berpunca dari getah penyambung gas tercabut.

Saya cuba menelefon suami Wan Mohd Fahmi Wan Yunus, 34 yang berada di rumah tetapi tidak terjawab kerana beliau mengerjakan solat.

"Saya seorang sahaja berada di situ langsung saya menelefon suami yang sedang sembahyang di rumah kira-kira 500 meter dari tempat kejadian, itu sahaja saya sempat buat, kedai saya tak sempat diselamatkan.

"Bagaimanapun saya mengucapkan syukur kepada Allah kerana saya selamat dan tidak ada kemalangan jiwa berlaku kerana saya seorang sahaja berada di situ," katanya ketika ditemui pemberita Isnin lalu.

Kerugian kedai laksa itu dianggarkan berjumlah RM7,000.

Pegawai Khas Ahli Parlimen Kuala Nerus, Ustaz Wan Yusrizal Wan Shafi’i menziarahi mangsa kebakaran di kediaman mereka, di Taman Batin Perdana di sini Isnin lalu dan memberi sumbangan berupa wang dan barangan keperluan harian bagi meringankan sedikit beban yang ditanggung akibat kebakaran itu.

Ahli Parlimen itu, Dato' Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali belum sempat menziarahi mangsa kerana menyertai persidangan Dewan Rakyat, Penggal Kedua Parlimen Ke 14 yang berlangsung dari 7 Oktober lalu hingga 5 Disember ini.  

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: