Thursday, 24 October 2019

Wan Muhammad Izzat, Nurain Fatini Terima Anugerah Khas Imtiaz

SHARE


KUALA TERENGGANU, 24 Oktober- Wan Muhammad Izzat W Zakaria dan Nurain Fatini Kamarudin menerima Anugerah Khas Imtiaz dalam Majlis Graduasi Dan Anugerah Hafazan Al-Quran Sekolah- Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu (YT) 2019 di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, hari ini.

Kedua-duanya yang berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran sepanjang pengajian di Imtiaz mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang lalu.

Wan Muhammad Izzat dari Sekolah Menengah Imtiaz YT Besut mendapat keputusan 12A (7A+, 4A, 1A-) manakala Nurain Fatini dari Sekolah Menengah Imtiaz YT Kuala Terengganu memperoleh 11A, 1B.

Anugerah itu disampaikan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Yahaya Ali kepada pelajar cemerlang berkenaan.


Turut hadir, Pengarah YT, Ishamudin Hashim.

Seramai 521 orang pelajar tingkatan lima yang bakal menamatkan pengajian dan 300 hafiz dan hafizah yang telah berjaya khatam 30 juzuk al-Quran diraikan dalam majlis itu.

Pada majlis itu, pelajar Imtiaz yang telah menyempurnakan hafalan al-Quran 30 juzuk turut dianugerahkan sijil hafazan dan wang tunai sebanyak RM1,000 seorang.

Sementara itu, bagi Anugerah Quranik (hafazan), Ibnu Sinar (akademik), Al-Fateh (kepimpinan), Al-Farabi (kokurikulum) dan As-Syafie (personaliti) turut dianugerahkan masing-masing kepada dua pelajar terbaik setiap sekolah.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: