Sunday, 13 October 2019

Wajib Sokong Palestin, Haram Simpati Pada LTTE – Abdul Hadi

SHARE


KUALA TERENGGANU, 13 Oktober - Seluruh rakyat negara ini wajib menyokong rakyat Palestin dan haram bersimpati perjuangan kumpulan Pembebasan Harimau Tamil Eelam (LTTE) Sri Lanka.

Ahli Parlimen Marang, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang menegaskan, kerajaan malaysia harus mengawal rakyatnya supaya tidak menjalinkan sebarang hubungan dengan kumpulan pengganas tersebut.

“Kalangan rakyat yang ada hubungan dengan kumpulan itu sangat memalukan, tidak menghormati dan tidak setia kepada negara sendiri, (tempat) yang dia berpijak di atas buminya dan bernaung di bawah langitnya.

“Sikap bersimpati dengan Tamil Eelam yang diharamkan oleh masyarakat antarabangsa, termasuk negara India sendiri dan dihapuskan di Sri Lanka adalah memalukan negara Malaysia dan rakyatnya. Maka langkah yang segera dan berani sangat wajar dilakukan oleh kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Tokoh Maal Hijrah 1441H Terengganu itu turut menjelaskan, perjuangan rakyat di Palestin tidak boleh disamakan dengan perjuangan kumpulan LTTE Sri Lanka.

Menurutnya, perjuangan rakyat Palestin itu berkonsepkan usaha mempertahan serta menuntut hak sah, manakala LTTE merupakan kumpulan pemberontak yang hanya ingin mewujudkan negara sendiri di Sri Lanka.

“Maka perjuangan Palestin adalah diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa, berkonsep mempertahan dan menuntut hak yang sah mengikut konsep politik dan hak asasi manusia yang konsisten.

“Sudah jelas dan nyata perbezaan yang tidak boleh dibandingkan dengan Tamil Eelam, jauh jaraknya laksana langit dan bumi, Timur dan Barat,” tambah beliau.

Baru-baru ini Ahli Parlimen Klang daripada parti DAP, Charles Santiago mengatakan tindakan kumpulan pemberontak LTTE mempunyai persamaan dengan pejuangan kumpulan Hamas untuk rakyat Palestin.

Kenyataan itu dibuat berikutan tindakan pihak polis menahan tujuh individu termasuk dua Adun DAP kerana didakwa menghidupkan balik pemberontakan LTTE di Malaysia selepas kumpulan pengganas itu terkubur susulan kematian pengasasnya dalam operasi ketenteraan kerajaan Sri Lanka 10 tahun lalu.



SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: