Monday, 7 October 2019

Ulama’, Pendekar Berpisah Tiada

SHARE

Oleh: Alfian Mamad

KEMAMAN, 7 Oktober - Ulama' Dan Pendekar Berpisah Tiada menjadi tema Karnival Main Ga’yong Pantai Timur 2019 di Pantai Penunjuk Kijal yang berakhir dengan penuh gemilang.

Karnival selama tiga hari itu menghimpunkan sebanyak 95 badan perguruan persilatan dari seluruh Malaysia termasuk wakil dari Thailand.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Yahaya Ali berkata, beliau akan mencadangkan supaya kerajaan negeri supaya mengangkat karnival tersebut dan dimasukkan ke dalam kalendar pelancongan negeri Terengganu.

“Kita akan usahakan supaya karnival ini akan menjadi agenda tahunan dan dimasukkan di dalam kalendar pelancongan negeri Terengganu,” ujarnya.

Yahaya yang juga Yang Dipertua Kesatuan Silat Terengganu (PESAKA) berkata demikian ketika merasmikan penutup Karnival Main Ga’yong Pantai Timur 2019 di sini kelmarin.


“Saya mengajak hadirin terutama generasi muda agar mengukuhkan dan mempertahankan seni silat ini kerana ia merupakan aset pusaka bangsa kita.

“Kita akan menyokong setiap perguruan silat yang tidak bercanggah dengan Islam dan menjaga setiap kewajipan yang telah disyariatkan kepada kita agar menjadi insan yang bertaqwa kepada Allah dan berguna kepada masyarakat,” ujar beliau lagi.

Tegasnya, setiap perguruan perlu membina setiap pesilat mereka agar mempunyai jati diri yang tinggi, mengukuhkan ukhuwah sesama sendiri dan mematuhi ajaran Islam.


Beliau turut diarak ke pentas utama dalam upacara dengan penuh adat istiadat dunia persilatan Melayu.

Khalifah Gayong Terengganu itu juga turut menyempurnakan pemakaian sandang kepada Ustaz Hazri Jusoh yang dianugerahkan oleh Pertubuhan Persaudaraan Seni Silat Melayu Pantai Timur (PERSIMA) yang bergelar Seri Bentara.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: