Tuesday, 29 October 2019

Turun Padang Dapatkan Maklumat Secara Jelas

SHARE


KUALA TERENGGANU, 29 Oktober- Usaha Pejabat Dewan Undangan Negeri Terengganu melaksanakan program turun padang ke beberapa agensi kerajaan dilihat berupaya membantu kerajaan negeri mendapatkan maklumat jelas berhubung peranan dan fungsi agensi terbabit.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Yahaya Ali berkata, lawatan kerja oleh badan legislatif negeri itu secara tidak langsung berupaya membantu menyelesaikan permasalahan dihadapi rakyat di peringkat akar umbi dengan kerjasama agensi berkaitan.

Katanya, lawatan kerja ke Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) hari ini adalah lawatan keenam beliau bermula dengan lawatan ke Mahkamah Syariah Kuala Terengganu, Syarikat Air Terengganu, Ibu Pejabat Kontinjen Polis Negeri Terengganu, Stesen Janaelekterik Tenaga Nasional Berhad Sultan Mahmud Kenyir serta Stesen Pemancar Telekom Malaysia Bukit Besar.


“Lawatan ini bertujuan untuk mendapat maklumat dari agensi kerajaan secara ‘first hand’ (dari sumber asal) khususnya untuk makluman Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi menyelesaikan isu berkait,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan Lawatan Kerja bersama beberapa ADUN ke Pejabat Yayasan Pembangunan Usahawan, hari ini.

Sementara itu, beliau turut mengharapkan para usahawan di negeri ini manfaatkan sebaik mungkin pembiayaan yang ditawarkan kerajaan negeri menerusi YPU.

“Ianya termasuk tawaran pinjaman tanpa faedah Tabung Usahawan Sejahtera (TUGAS) yang merupakan tabung pinjaman patuh syariah yang telah dilancarkan Januari lalu,” ujarnya.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: