Thursday, 10 October 2019

Tujuh Beradik Jadi Anak Angkat PERKESO

SHARE

Oleh : Adli Mohamad

DUNGUN, 10 Oktober- Tujuh orang anak mangsa kemalangan maut 4 Oktober lalu, Kamal Hisham Mustafa, 35, bersama isterinya Norhapisah Idris, 35, dijadikan anak angkat Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Daerah Dungun.

Mereka ialah Muhammad Danial, 12, Muhammad Danish Irfan, 11, Mohamad Darwish Iqbal, 9, Muhammad Dhiyauddin Aman, 8, Muhammad Daim Amin,6, Muhammad Dhiya Arsyad, 5 dan Dayyanah Athirah Kamal, 3.

Pengurus PERKESO daerah berkenaan, Nor Afizah Aziz berkata, ianya bagi menjamin kebajikan mereka sehingga dewasa serta mampu berdikari.

"Sebagai anak angkat kita akan mengambilkira kebajikan mereka dari segi keperluan belajar dengan membekalkan alatan.

"Kita juga akan menilai pencapaian akademik yang mana akan dipantau melalui sekolah untuk melihat prestasi setiap anak-anak ini dari semasa ke semasa," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan Faedah Pengurusan Mayat yang bernilai RM2,000, di kediaman keluarga Nor Hapisah Idris, di Pasir Raja, hari ini.

Turut hadir, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman

Katanya, selain dijadikan anak angkat, PERKESO telah mengumpulkan segala maklumat dan mendapati arwah Norhafisah layak untuk mendapat Faedah Pencen Penakat.

Faedah itu akan diterima sehingga anak-anak arwah masing-masing berusia 21 tahun.

Walau bagaimanapun katanya, amaunnya masih belum ditentukan kerana bergantung kepada tempoh matang.

Katanya, dengan pengambilan tujuh anak berkenaan menjadikan PERKESO daerah Dungun mempunyai 13 anak angkat sehingga kini.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: