Monday, 14 October 2019

Tujuh Beradik Diberi Pilihan Memasuki Asrama PERKAYA

SHARE


Oleh: Adli Mohamad

DUNGUN, 14 Oktober- Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Terengganu (PERKAYA) memberi pilihan kepada tujuh anak Kamal Hisham Mustafa, 35, dan Norhapisah, 35, yang terlibat dalam kemalangan maut baru-baru ini bagi menduduki asrama di bawah badan berkenaan.

Pengerusi Biro PERKAYA Dungun, Dait Mohamad berkata, walau bagaimanapun ianya tertakluk kepada minat anak-anak berkenaan serta kebenaran pewaris atau penjaga mereka.

Jelasnya, pilihan yang diberikan itu bagi memastikan pelajaran mereka tidak  terabai.

"Jadi kami datang untuk memberi peluang kepada ketua penjaga mereka bagi memastikan anak-anak ini mendapat pendidikan yang terbaik.

"Mereka akan ditempatkan di Asrama Pra Tahfiz PERKAYA Dungun di Kampung Dendang dan akan bersekolah di Sekolah Kebangsaan Dendang," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika hadir ke kediaman penjaga anak yatim piatu berkenaan, di Kampung Pasir Raja, semalam.

Bagi menyambung pengajian ke peringkat menengah pula menurutnya, anak berkenaan akan ditempatkan pula di Asrama PERKAYA Daerah Marang dan akan mendapat pendidikan di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Seranting.

Jelasnya, PERKAYA tidak memikirkan apa-apa keuntungan melainkan bagi menjadikan tujuh beradik berkenaan insan yang berguna serta mempunyai masa depan yang cerah.

Sementara itu, timbalannya, Hani Md. Zin Muda berkata, prestasi kecemerlangan anak-anak di PERKAYA sentiasa dinilai dan akan dilihat kecenderungan mereka.

"Jika mereka bagus dari segi akademik, mereka boleh menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

"Jika dari sudut akademik kurang baik, kita ada pusat-pusat kemahiran untuk mereka tonjolkan bakat masing-masing, itu yang (akan) kita buatlah dan segala keperluan belajar akan kita tanggung," jelasnya.

Sementara itu, datuk kepada anak-anak yatim piatu tersebut , Idris Abdullah, 74,  berterima kasih diatas tawaran PERKAYA dan sebarang keputusan menurutnya hanya akan dibuat selepas perbincangan bersama alhi keluarga terlebih dahulu.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: