Monday, 7 October 2019

Tubuh Unit Siasatan Baru Siasat Kes Adib - Mohd Kamaruzzaman

SHARE

KUALA TERENGGANU, 7 Oktober - Pihak polis digesa menyemak semula siasatan kematian anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Muhammad Adib Mohd Kassim, yang terbunuh dalam kejadian rusuhan di Kuil Sri Maha Mariammam, 27 November tahun lalu.

Peguam keluarga Allahyarham Muhammad Adib, Mohd Kamaruzzaman A Wahab mencadangkan, pihak polis menubuhkan unit siasatan baru untuk menyiasat kes berprofil tinggi berkenaan.

“Kes ini perlu disiasat semula dengan setelusnya menerusi pasukan baharu yang dianggotai oleh mereka yang lebih berintegriti agar tidak berlaku kelompangan. 

“Kami mewakili keluarga Muhammad Adib memantau kes ini kerana kami hendak tahu apa yang berlaku dan diharap pihak polis akan terus beri maklumat kepada kami dan orang awam tentang perkembangan siasatan kes ini sama ada penjenayah sudah ditangkap atau belum dan sebagainya selepas ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika bersiaran dalam Wawancara Khas Inkues Muhammad Adib bersama TV Darul Iman, hari ini.

Katanya, keputusan inkues kematian Muhammad Adib disifatkan bukan penamat kepada usaha mendapatkan keadilan kepada anggota bomba itu sebaliknya permulaan memastikan kematiannya terbela.

Beliau berkata, siasatan kes itu tidak pernah ditutup dan kekal disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.


Mohd Kamaruzzaman berkata, sebelum ini Mahkamah Koroner telah membuat keputusan bahawa berdasarkan keterangan saksi, pakar dan dying declaration dari si mati, membuktikan si mati telah dipukul dan menyebabkan kematian oleh sekumpulan orang.

“Justeru, pihak polis diharap dapat menangkap dan mendakwa penjenayah terlibat.

“Keluarga Muhammad Adib mahu lihat penjenayah dibawa ke muka pengadilan dan mahukan pembelaan terhadap kematiannya yang disifatkan sebagai seorang anak yang baik dan pemergiannya sangat terkesan kepada seluruh ahli keluarga,” ujarnya.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, 27 November 2018.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.

Prosiding inkues kematiannya berlangsung selama 41 hari bermula 11 Februari lalu dan keputusan pada 27 September memutuskan, kematiannya disebabkan impak perbuatan jenayah oleh dua atau lebih orang tidak dikenali.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: