Thursday, 31 October 2019

TRENGLISH Tingkat Kemahiran Komunikasi

SHARE



KUALA NERUS, 31 Oktober – Program TRENGLISH adalah inisiatif  kerajaan negeri dalam meningkatkan kemahiran pelajar-pelajar Terengganu untuk berkomunikasi  dalam Bahasa Inggeris

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato' Yahaya Ali berkata, program itu kini telah berkembang ke 40 buah sekolah menengah dan 10 buah sekolah rendah di negeri ini.

“Saya difahamkan pada tahun 2018 seramai lapan orang manakala tahun 2019 seramai 13 orang pelajar di bawah program TRENGLISH telah berjaya menerima biasiswa tajaan Petronas di bawah Petronas Education Sponsorship Programme (PESP).

“Ini adalah sebahagian daripada kejayaan pelajar-pelajar TRENGLISH. Insya Allah kejayaan ini akan menjadi inspirasi kepada pelajar-pelajar lain,” jelasnya.


Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutup Mega TRENGLISH Camp 2019 yang diadakan di Tabung Haji Hotel &  Convention Centre di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Maliaman Kassim, Pengurus Besar Petronas Wilayah Timur, Datuk Wan Mohd Hasnan Abdullah, Pengarah Pendidikan Yayasan Terengganu, Ishamuddin Hashim dan Wakil Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu, Azman Othman.

Menurut Yahaya, satu bentuk kolaborasi baharu di antara kerajaan negeri dan PETRONAS telah dilaksanakan pada bulan Disember tahun lepas dan akan di teruskan pada tahun ini.

“Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) juga berkolaborasi  bersama TRENGLISH. Setiap tahun, pihak PPAT dan TRENGLISH mengadakan program bersama komuniti dalam skala yang besar.

“Ini menunjukkan Program TRENGLISH tidak hanya berfokuskan kepada para pelajar sahaja bahkan kepada masyarakat sejagat juga,” ujarnya lagi.


Tambahnya, Mega Trenglish Camp 2019  bertindak sebagai satu arena untuk menggalakkan persaingan sihat dan aktif di kalangan pelajar sekolah Trenglish.

Justeru itu, beliau berharap program ini  akan terus membantu para pelajar di negeri Terengganu dalam mempertingkatkan kemahiran berbahasa Inggeris.

“Saya yakin bahawa dengan sokongan daripada pelbagai pihak, anak-anak kita mampu memiliki masa depan yang lebih cerah dan suatu hari nanti  akan membuat kita  bangga dan Terengganu juga terus maju.

“Saya berharap agar kerjasama ini dapat diteruskan lagi  agar dapat terus  membawa kebaikan kepada para pelajar Terengganu pada masa hadapan,” tambah Yahaya.



SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: