Monday, 14 October 2019

Tour of Peninsular: Promosi Terengganu Ke Serata Dunia

SHARE



KUALA TERENGGANU, 14 Oktober- Edisi sulung perlumbaan berstatus 2.1  Tour of Peninsular (ToP) 2019 yang akan bermula esok bukan sahaja  mampu  mempromosi ‘Visit Beautiful Terengganu’ ke serata negeri malah ke seluruh dunia melalui siaran ‘Live Streaming’.

Lebih menarik, melalui pendekatan itu masyarakat luar Terengganu dan  antarabangsa berpeluang melihat dengan lebih dekat Drawbridge Terengganu dan keindahan Terengganu .
Ketua Pegawai Operasi Tour of Peninsular, Emir Abdul Jalal menjelaskan, pihaknya akan memberi lebih  tumpuan kepada penggunaan Drawbridge melalui beberapa acara, termasuk pelepasan pelumba di perkarangan Pasarnita (sebelah Drawbridge) untuk acara peringkat kedua.


Katanya, peserta akan memulakan perlumbaan peringkat pertama dari Dungun ke Kuala Terengganu sebelum ke Chukai bagi mengakhiri perlumbaan peringkat kedua.

“Bagi peringkat ketiga pula perlumbaan akan bermula di Kuantan ke Karak sebelum pada peserta dibawa ke Sungai Koyan untuk perlumbaan peringkat keempat yang bakal berakhir di Cameron Highlands manakala peringkat terakhir dari Kuala Lipis ke Setiawangsa,”katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Hotel Permai, di sini, petang ini..
Katanya, pihaknya berterima kasih dengan kesungguhan kerajaan negeri Terengganu dalam membantu melancarkan penganjuran buat kali pertama dengan tajaan RM500,000.

“Penajaan ini amat besar maknanya untuk kami. Kerajaan negeri bukan saja mengeluarkan perbelanjaan kewangan yang agak besar, tetapi menggerakkan hampir keseluruhan jentera pentadbiran negeri dalam membantu memastikan acara ini dilangsungkan dengan jayanya khasnya penganjuran acara pra-perlumbaan serta acara di Peringkat 1 dan 2.” katanya.

Untuk rekod, ToP 2019 akan berlangsung pada 15 hingga 19 Oktober ini membabitkan penyertaan 20 pasukan profesional Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) dan kebangsaan dari serata dunia.



SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: