Tuesday, 8 October 2019

TOP IT Terengganu Meterai MoU Dengan Reality Venture Dan Kreatif Apps

SHARE



KUALA TERENGGANU, 8 Oktober - Syarikat milik Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu, TOP IT Industries Sdn Bhd hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Reality Venture Sdn Bhd dan Kreatif Apps Sdn Bhd yang berlangsung di Dewan Utama, TD1303.

MoU itu bertujuan membangunkan projek perkhidmatan smart Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dan infrastruktur digital untuk Pintar (Pusat Internet Akses Rakyat) yang dahulunya dikenali sebagai Pusat Bestari.Com.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, TOP IT Industries Sdn Bhd dan rakan strategik telah bersetuju untuk bekerjasama melalui empat komponen utama iaitu Pintar Connect, Pintar Secure, Pintar Health dan Pintar Education yang merupakan tunjang kepada pembangunan ICT pada masa kini bagi menyediakan perkhidmatan berkesan kepada penduduk negeri ini.

MoU ditandatangani oleh Pengerusi TOP IT Industries Sdn Bhd, Zakaria Dagang dan Pengarah Urusan Reality Venture Sdn Bhd, Dr Abdul Rashid Mohamed Ali serta Ketua Pegawai Eksekutif Kreatif Apps Sdn Bhd, Adi Yazid Rosli sambil disaksikan Ariffin.


Menurut Ariffin, menerusi MoU yang dimeterai itu, rakyat Terengganu bakal menerima manfaat daripada empat komponen utama tersebut mulai tahun hadapan yang menyediakan pelbagai platform untuk kemudahan rakyat menerusi aplikasi ‘Mobile Apps’.

Pintar Connect akan menyediakan platform untuk komunikasi dan kolaborasi kepada badan-badan yang terlibat dalam pentadbiran kerajaan negeri menggunakan teknologi Microsoft untuk membolehkan kerajaan menyampaikan maklumat dan pengumuman kepada rakyat secara interaktif.

Pintar Secure pula akan mengkaji penyediaan platform  untuk memerhati tahap keselamatan di tempat strategik di negeri ini dengan penggunaan teknologi Huawei yang telah berjaya dilaksanakan di lebih 160 bandar di seluruh dunia,” ujarnya.

Sementara itu, Ariffin berkata, menerusi Pintar Health pula, platform tersebut akan menyediakan perkhidmatan kesihatan menggunakan teknologi kepintaran buatan termasuk khidmat mendiagnos penyakit dan menjual ubat-ubatan secara atas talian dan perkhidmatan kesihatan.

“Manakala Pintar Education akan menyediakan platform untuk pembelajaran bahasa Arab termasuk 'nahu' dan 'sharaf' dalam al-Quran secara atas talian,” ujarnya.

Ariffin berkata, jalinan kerjasama ini membuktikan komitmen TOP IT Industries Sdn Bhd dalam usaha membantu kerajaan negeri menyediakan perkhidmatan ICT yang efektif dan berkesan kepada rakyat.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: