Sunday, 6 October 2019

'Tolonglah Ikuti Kes Adib Sehingga Pelaku Ditangkap'

SHARE
Kamaruzzaman A Wahab.
KUALA TERENGGANU, 6 Oktober - Orang ramai diseru supaya sentiasa mengikuti secara dekat perjalanan kes kematian anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, almarhum Muhammad Adib Mohd Kassim, yang terbunuh dalam kejadian rusuhan di Kuil Sri Maha Mariammam, November tahun lalu.

Peguam keluarga Allahyarham Adib, Mohd Kamaruzzaman A Wahab berkata, masyarakat seharusnya terus mendesak pihak berkuasa agar siasatan kes tersebut dilaksanakan dengan teliti dan segera tanpa dicampuri perkara-perkara yang tidak sepatutnya.

Mengulas kenyataan Peguam Negara, Tommy Thomas tentang kes itu yang dikeluarkan minggu lalu, beliau menyifatkan ia seakan-akan kenyataan politik semata-mata untuk meredakan suara orang ramai yang mendesak Thomas meletakkan jawatan.

“Beliau hanya memberi jaminan untuk meneliti kes berkenaan tanpa memaklumkan tindakan atau arahan yang telah dikemukakan Jabatan Peguam Negara kepada pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) untuk menyiasat kes itu.

“Itu kenyataan terakhir Thomas dan pada tiga hari lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador pula mengeluarkan kenyataan bahawa  pihak polis masih menunggu arahan lanjut Peguam Negara.

“Kita dapati kes ini seperti ada ‘tarik tali’ antara kedua-dua pihak yang mungkin menyebabkan siasatan kes tidak berlangsung dengan lancar,” katanya ketika dihubungi  Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), kelmarin.

Terdahulu, Koroner, Rofiah Mohamad telah memutuskan bahawa kematian Adib adalah akibat perbuatan jenayah yang melibatkan dua atau tiga penyerang ketika anggota bomba berusia 24 tahun itu bertugas di luar Kuil Sri Maha Mariamman, Seafield, tahun lalu.

Keputusan berkenaan dikeluarkan 27 September baru-baru ini setelah  tamat prosiding inkues selama 41 hari yang bermula 11 Februari 2019.

Kamaruzzaman turut berpandangan, keputusan Koroner ke atas kes tersebut merupakan satu perkara yang amat baik bagi keluarga Allahyarham.

“Ia satu keputusan yang positif sekali gus menidakkan teori dibawa pihak pendakwa yang menyatakan Muhammad Adib mati akibat kemalangan.

“Cuma, rakyat wajib terus meneliti perjalanan kes ini sehingga para pelaku diheret ke muka pengadilan dan kematian Adib mendapat pembelaan yang sewajarnya,” serunya.  




SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: