Friday, 18 October 2019

TNB Realisasi Hasrat MB Terengganu

SHARE

Oleh : Aslam Wira

MARANG, 18 Oktober - Seorang pesakit strok, Leum See Ang @ Kim See Sing, 72, telah menerima bantuan baik pulih rumah daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) semalam setelah disuarakan oleh Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar baru-baru ini.

See Ang yang menghidapi penyakit berkenaan sejak lima tahun lalu dan berstatus Orang Kelainan Upaya (OKU) tinggal bersama isterinya, Owi Seyu Huwa, 62, serta dua anak lelakinya.

Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abd Razak mengucapkan tahniah kepada TNB apabila Projek Mesra Rakyat (PMR)  berjaya merealisasikan hasrat Ahmad Samsuri yang mahu pembaikian rumah tersebut dilakukan segera.

"Saya juga ingin menyampaikan salam daripada Menteri Besar, dan beliau sangat berhasrat untuk hadir tetapi mempunyai urusan lain di luar negeri," ujar beliau.

Beliau berkata demikian ketika hadir merasmikan Majlis Penyerahan Plak Rumah di kediaman See Ang di Kampung Bukit Gasing.

Hadir sama, Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu, Wahad Osman, Yang Dipertua Majlis Daerah Marang, Mohd Huzairil Nizam Ibrahim dan Ketua Polis Daerah Marang, Mohd Zain Mat Dris.


Terdahulu, Pemangku Ketua Perkhidmatan Pelanggan TNB Terengganu, ‘Ainnul Marwani Mukhtar yang turut hadir berkata, Projek PMR itu merupakan salah satu program di bawah tanggungjawab korporat yang semakin sinonim dengan TNB.

"Bagi menyahut saranan kerajaan, Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) seperti TNB turut membantu kerajaan untuk membaiki rumah kediaman golongan sasaran yang memerlukan," katanya.

Menurutnya lagi, sejak tahun 2012, TNB Terengganu telah membantu seramai 16 orang keluarga yang terdiri daripada Orang Kelainan Upaya(OKU), ibu tunggal, warga emas dan penduduk miskin.

“Bagi masyarakat melayu yang beragama Islam, pihak TNB menyediakan bantuan yang dinamakan program 'Baiti Jannati' yang mana sumbernya adalah daripada wang zakat TNB.

"Dalam tahun 2019, TNB telah meluluskan dan melaksanakan sebanyak 11 permohonan rumah 'Baiti Jannati',” tambahnya lagi.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: