Tuesday, 15 October 2019

Tiada Pembekuan Permohonan Bantuan Zakat MAIDAM

SHARE
Dato' Osman Muda (tiga dari kiri) menyampaikan hadiah di Majlis Perasmian Penutup Walk & Hike 4 Wakaf 2019 di Kompleks Seri Iman di sini baru-baru ini.

KUALA TERENGGANU, 15 Oktober - Permohonan bantuan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) untuk memasuki mana-mana universiti dalam dan luar negeri atau permohonan lain berjalan mengikut peraturan dan syarat yang ditetapkan sekali gus tiada yang dibekukan setakat ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, M Rozi Bidin berkata, sesiapa yang memohon tetapi belum lagi dijawab oleh majlis itu boleh menghubungi beliau untuk mengenal pasti permasalahan berkait dengan permohonan tersebut.

"Permohonan bantuan pelajaran macam biasa, tak pernah dibekukan.

"Jika ada mana-mana pemohon yang belum mendapat jawapan bagaimana status permohonannya, minta yang berkenaan hubungi saya untuk saya semak," katanya ketika dihubungi semalam.

Bantuan disediakan untuk menyelesaikan masalah keperluan asnaf boleh didapati di laman sesawang MAIDAM.

Ini termasuk Bantuan Sumbangan Tabung Perkhidmatan Pendidikan Luar Negara, Bantuan Pengurusan Rumah Anak Yatim MAIDAM, Bantuan Pendidikan Dalam Negara dan Bantuan Pendidikan Luar Negara bagi Asnaf Fisabilillah.

Manakala Asnaf Ibnu Sabil pula antara lain mendapat Bantuan Tambang Kepada Pelajar Luar Negara dan Bantuan Kepada Orang Yang Terkandas Dalam Perjalanan.

Fisabilillah bermaksud mana-mana orang Islam atau pihak yang melibatkan diri atau mengadakan aktiviti dalam menegak, mempertahankan dan mendakwahkan agama Islam serta meningkatkan penghayatan tentangnya sebagaimana yang dikehendaki oleh syariat Islam.

Sementara Ibnu Sabil bermaksud mana-mana orang Islam yang berhasrat atau sedang bermusafir atau terkandas di dalam perjalanan yang memerlukan bantuan bagi maksud-maksud yang dibenarkan oleh hukum syarak dari atau ke mana-mana jua negeri atau negara.

Sesiapa yang berkenaan boleh membuat permohonan dari asnaf tersebut mengikut syarat yang ditetapkan secara atas talian dan menghantar borang permohonan yang telah diisi dan dicetak ke pejabat MAIDAM dengan segera.

Untuk sebarang pertanyaan sila hubungi MAIDAM di talian  09-6303030.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: