Wednesday, 2 October 2019

THV Pusat Pameran Seni Budaya Tradisional Terengganu

SHARE
Ariffin (kiri) mencuba meraut buluh untuk membuat wau sobek.

SETIU, 2 Oktober - Terrapuri Heritage Village (THV), Kampung Mangkuk di sini menonjolkan budaya tradisi Terengganu kepada pelancong luar dan dalam negeri selama tiga hari berturut-turut bermula 28 hingga 30 September lalu.

Program dibawah Perayaan Warisan Seni Bina dan Budaya Kerajaan Yang Hilang (Festival of Architectural and Cultural Heritage of The Lost Kingdom) 2019 anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia turut menonjolkan 10 peratus dari keseluruhan warisan kebudayaan tradisional Terengganu sejak zaman berzaman.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ustaz Ariffin Deraman berkata, THV dijadikan sebagai pusat (one stop centre) pameran pelbagai kebudayaan tradisi Terengganu warisan bangsa yang hampir pupus.

Ariffin (tengah) mencuba sendiri membuat kuih Jala Emas.
"Saya sekarang berada Terrapuri Heritage Village, Kampung Mangkuk, tempat yang sangat unik dan menjadi tumpuan masyarakat dunia.

"Tempat kita ini ada rumah-rumah tradisional, yang berusia ratusan tahun, jarang ada di tempat yang lain.

"Kita teruja dengan program yang seumpama ini kerana mengenengahkan tradisi yang ada di Terengganu," jelas beliau.

Ariffin berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas program lawatan ke seluruh pameran di resort tersebut semalam.

Katanya, tidak kurang dari 15 jenis pameran diadakan termasuk cara bagaimana produk tradisional dihasilkan.

Pameran itu meliputi makanan tradisional, wau sobek, gasing, barangan tembaga, songket, batik terap, tikar dan lain-lain.

"Di sini kita ada buat demonstrasi makanan yang hampir pupus, mungkin generasi baharu, mereka makan sahaja, mereka tidak kenal dan mereka tidak tahu cara pembikinannya.

Ariffin Deraman.
"Tetapi di sini pembikinannya dimulakan dari awal sampai akhir, ertinya bukan sahaja kita tahu cara makannya tetapi bagaimana cara kita nak buat kuih tradisional itu.

"Sebagai contoh kuih Jala Emas, saya ingat payah nak buat tetapi bila tengok saya nak cuba sendiri, sebenarnya saja mudah buat," jelasnya.

Katanya, oleh kerana kuih itu agak unik, mungkin generasi muda suka makan tetapi jarang ada di jual di lain-lain tempat dan harganya pun dikira mahal sikit kerana berbalui dengan kaedah pembuatannya.

"Ia diperbuat dari telur itik, kuning telur dibuat Jala Emas, yang putih dibuat kuih Tahi Itik.Jadi semuanya sedap tetapi namanya tidak berapa sedap," ujarnya sambil ketawa kecil.

Menurutnya, antara kuih yang terlekat di hati beliau ialah kuih Qasidah.

"Kalau orang tanya kuih apa yang paling terlekat di hati, daripada dulu ialah qasidah.Sekarang ramai yang boleh buat di Terengganu tetapi mungkin negeri lain tidak tahu membuatnya, ujarnya.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: