Monday, 14 October 2019

Terus Pantau Pergerakan LTTE Elak Keganasan Berlaku - Ahmad Amzad

SHARE
Ahmad Amzad.
Foto Oleh : Ammar Rozlan

KUALA TERENGGANU, 14 Oktober - Pemantauan berterusan pihak berkuasa terhadap Kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) adalah langkah tepat bagi membendung keganasan daripada merebak dalam negara ini.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim menegaskan, tindakan tersebut sangat perlu dilakukan di setiap negeri termasuk Terengganu.

Ujarnya, walaupun masyarakat India di Terengganu tidak ramai, beliau tetap berpandangan bahawa usaha bagi mengelak LTTE membina rangkaian mereka harus dihalang.

“Dalam makluman saya, ada sebilangan pesalah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) serta banduan kesalahan berat yang dibuang negeri dan ditempatkan di Terengganu.

“Mereka ini dari kalangan anggota kongsi gelap tertentu termasuk kongsi gelap India. Setakat yang saya tahu antara lima atau enam anggota kongsi gelap India ditahan bawah POCA dibuang ke Terengganu.

“Ada yang di Pulau Redang dan Chabang Tiga, Kuala Terengganu. Antara mereka mungkin ada kerja di restoran atau tempat cuci kereta,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut mengatakan, bekas tahanan itu bukan hanya terdiri daripada kaum India sahaja.

“Dari kaum lain pun ada, seperti kaum Melayu dan Cina, kita harap pergerakan mereka terus diperhati kerana bimbang dengan latar belakang kongsi gelap mereka.

“Kita juga bimbang pengaruh idealisme LTTE termasuk sekiranya mereka menjadi rangkaian pengumpulan dana LTTE sebagaimana disebut Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay,” tambah beliau.

Semalam, Ayob Khan berkata, polis mendapati kumpulan LTTE itu mempunyai cawangan di setiap negeri.

“Ada pergerakan untuk cuba aktifkan LTTE dan sebab itu polis tangkap untuk tidak benarkan aktiviti kumpulan ini berkembang.

“Ada dua yang ditahan dan merancang melakukan serangan secara ‘Lone Wolf’ di negara ini contohnya mereka pernah mencederakan Pesuruhjaya Tinggi Sri Lanka ke Malaysia Ibrahim Ansar pada 2016,” katanya.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: