Thursday, 24 October 2019

Terengganu Terus Komited Tapis Aktiviti Hiburan

SHARE
Dr Azman Ibrahim.

Oleh : Hidayah Azlin 

SETIU, 24 Oktober - Kerajaan Terengganu terus komited untuk mengawal sebarang aktiviti hiburan di semua peringkat sama ada untuk golongan muda mahupun tua.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, pihaknya telah meletakkan garis panduan kawalan hiburan bagi memastikan sebarang aktiviti di negeri itu tidak bercanggah dengan Islam.

Namun katanya, wujud segelintir penganjur program yang meletakkan jata negeri walaupun tidak mematuhi syarat kerajaan negeri.

"Buat pelbagai poster program berbentuk hiburan kemudian diletakkan jata negeri lalu disebarkan di alam maya dengan pantas walaupun tak dapat izin.

"Orang ramai tengok bila ada jata negeri, mereka sangka ia adalah anjuran  dan mendapat izin kerajaan negeri.

"Hakikat sebenarnya, bukan setakat program tersebut tak pernah diluluskan, malah permohonan pun tak pernah dihantar," katanya dalam kenyataan di 'Facebook' rasminya semalam.

Tambah beliau, penyalahgunaan itu telah menyebabkan berlaku suasana yang tidak tenteram dalam masyarakat.

Malah ada yang beranggapan kerajaan negeri tidak serius dalam mengawal aktiviti hiburan berlebihan.

"Yang teliti, mereka akan tanya dulu. Yang tak teliti, tengok poster mereka terus pukul kerajaan," tambah beliau.

Katanya lagi, pada zaman moden ini orang ramai tidak mampu untuk mengawal poster haram yang bertebaran di alam maya.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: