Monday, 7 October 2019

Terengganu Terus Aktif Perkasa Badan Legislatif - YDP DUN

SHARE
Dato' Yahaya Ali.
KUALA TERENGGANU, 7 Oktober - Terengganu terus aktif dalam usaha memantapkan badan legislatif yang berperanan besar menentukan hala tuju pentadbiran negeri.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato’ Yahaya Ali berkata, kesempatan menyertai Persidangan Ahli Parlimen Komanwel (CPA) yang ke-64 di Kampala, Uganda baru-baru ini telah dimanfaatkan dengan mengadakan perkongsian berkaitan pentadbiran dengan beberapa negara terlibat.

Ujarnya, perbincangan tidak terhenti setakat itu apabila pihaknya turut mengambil peluang untuk bertemu dengan Speaker Parlimen Turki, Prof Dr Mustafa Sentop bagi menimba pengalaman dalam memperkukuh sesebuah kerajaan.

“Kami terlibat dalam bengkel dengan setiap negara lain bagi membincangkan penambahbaikan badan perundangan iaitu pembangunan dalam teknologi dan inovasi.

“Terengganu akan terus aktif dan berperanan di peringkat antarabangsa bagi memanfaatkan kelebihan yang ada pada negara-negara komanwel untuk diaplikasikan di tanah air,” jelasnya dalam satu sidang media di Wisma Darul Iman, baru-baru ini.

Menurut Yahaya, persidangan dan lawatan tersebut juga turut berkisar tentang kerjasama lain yang bakal diterokai pada masa hadapan.


“Perbincangan berkait ekonomi dengan Speaker Parlimen Turki memberikan peluang dan potensi yang positif untuk meningkatkan kerjasama.

“Usaha seterusnya akan dijalankan oleh pihak kerajaan negeri bagi menarik pelaburan dari Turki, termasuk bidang-bidang lain yang mampu membangunkan Terengganu,” tambah beliau.

Kata Yahaya lagi, peluang berada di sana turut dimanfaatkan dengan mengadakan pertemuan bersama pelajar-pelajar Malaysia di Uganda dan Turki.

“Pelbagai makluman diterima daripada para pelajar yang insya-Allah akan disampaikan kepada Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang terlibat dalam sektor pendidikan,” ujarnya.

Kunjungan berkenaan turut dihadiri oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Haji Hishamuddin Abdul Karim dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Haji Muhammad Khalil Abdul Hadi.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: