Thursday, 3 October 2019

Terengganu, Singapura Bakal Jalin Kerjasama Tiga Bidang

SHARE
Kerjasama dengan Singapura bakal rancakkan ekonomi Terengganu.

KUALA TERENGGANU, 3 Oktober - Kerajaan Terengganu dan Singapura akan menjalin kerjasama dalam tiga sektor utama merangkumi pendidikan, pelaburan dan pelancongan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Terengganu mempunyai institusi kemahiran yang boleh dimanfaatkan menerusi jalinan kerjasama strategik dua pihak terutama dalam meningkatkan lagi kualiti pelajar sebelum ke lapangan pekerjaan.

Jelasnya, bermula hari ini pihaknya juga akan meneliti bidang-bidang lain yang boleh dilibatkan sama dalam kerjasama tersebut bagi meningkatkan lagi kemajuan di Terengganu.

“Semua sedia maklum dengan kehebatan Singapura dalam merancang perkembangan industri di sana, Terengganu juga mempunyai impian yang sama dengan memanfaatkan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) untuk masa hadapan.

“Insya-Allah sebelum berakhir tahun ini, Terengganu pula akan mengadakan kunjungan hormat ke Singapura untuk melihat dengan lebih dekat situasi di sana, tarikhnya kita akan umumkan kelak,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menerima kunjungan hormat dan lawatan Menteri Hal Ehwal Luar Singapura, Dr Vivian Balakrishnan di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Ahmad Samsuri (kanan) menghargai kesungguhan Dr Vivian (kiri) dalam memantapkan kerjasama antara dua kerajaan tersebut. 
Sementara itu, Dr Vivian memaklumkan, kehadiran delegasi Ahmad Samsuri ke Singapura nanti dijangka mampu menarik pelabur negara itu untuk melabur di Terengganu.

“Di Singapura nanti mereka (Terengganu) boleh melihat apa peluang pelaburan yang boleh ditarik (ke Terengganu) dan apa yang dilaksanakan bersama.

Tambah Dr Vivian, kerjasama bagi memantapkan industri pelancongan Terengganu dan Singapura turut dibincangkan dalam pertemuan selama satu jam itu.

“Terengganu mempunyai jajaran pantai yang sangat panjang dan sesuai untuk industri pelayaran (pelancongan), industri pelayaran Singapura sangat besar dan kita boleh memanfaatkan bersama, dengan kita wujudnya kerjasama ini, sudah tentu tetamu antarabangsa akan bertambah ke Terengganu.

“Sangat menarik jika kita berjaya wujudkan rangkaian kerjasama dalam Rantau Asia Tenggara ini, kita harap semua yang dirancang ini berjaya,” tambah beliau.

Terdahulu, Dr Vivian Balakrishnan turut melakukan lawatan kerja ke Negeri Sembilan dan Pahang sejak Rabu lalu.

Kunjungan tersebut adalah sebahagian daripada usaha berterusan Singapura untuk memperkukuhkan hubungan rapat sedia ada dengan negeri-negeri di Malaysia.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: