Sunday, 6 October 2019

Terengganu Seru Pusat Tahfiz Seluruh Negara Bersatu

SHARE
Mohd Nor seru penyatuan pusat tahfiz.




KUALA TERENGGANU, 6 Oktober- Kerajaan Terengganu menyeru madrasah dan pusat-pusat tahfiz di seluruh negara bersatu dan berkongsi kelebihan masing-masing dalam memartabatkan institusi tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah menyatakan, penyatuan itu mampu membawa pusat-pusat tahfiz ke arah yang lebih baik berbanding masa kini.

“Kita perlu kepada penyatuan ummah diantara madrasah-madrasah yang ada. Kita sepatutnya bersatu bukan sebaliknya bergerak sendiri dengan kelebihan masing-masing.

“Ini kerana kita sedang berjuang dengan al-Quran dan seharusnya kitalah institusi yang pertama melaungkan penyatuan,” nasihatnya.
 
PERMATA Al-Quran turut menandatangani perjanjian persetujuan bersama beberapa institusi untuk membuka peluang pelajar tahfiz melanjutkan pelajaran.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Madrasah Tahfiz Al-Quran Malaysia (PERMATA) kali ke-17 sempena Himpunan Huffaz PERMATA Al-Quran peringkat nusantara di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri Gong Badak yang berakhir semalam.

Mohd Nor mewakili kerajaan negeri turut merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada penganjur kerana memilih negeri ini menjadi lokasi himpunan kali ke-7 itu.

“Semoga Allah SWT memberkati negeri dengan kehadiran mereka yang berjuang menegakkan agama dan suruhan-Nya.

Saya mengharapkan pertemuan ini bukan yang terakhir. Doakanlah negeri ini terus dipimpin oleh orang yng mengangkat agama Allah SWT dan rasul-Nya. Doakan kami dalam membina ‘Darul Iman’ ini,” katanya.

Himpunan berkenaan mengumpulkan lebih 1,000 peserta dari dalam dan 21 delegasi luar negara. Himpunan berkenaan diadakan bermula Jumaat lalu dan menyajikan pelbagai aktiviti antaranya karnival sukan, malam kesenian Islam selain majlis konvokesyen.

Delegasi dari seluruh negara hadir menyokong Himpunan Huffaz PERMATA Al-Quran yang dianjurkan.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: