Tuesday, 22 October 2019

Terengganu Peruntuk RM845 Ribu Bantu Pelajar STPM

SHARE
Dato' Tengku Hassan bersama pelajar-pelajar.
Oleh: Fidee Aziz

KUALA TERENGGANU, 22 Oktober - Kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu telah menyampaikan bantuan persediaan sebanyak RM845,000 kepada pelajar Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) di seluruh Terengganu.

Ketua Penolong Pengarah (Kutipan Balik Pinjaman) Yayasan Terengganu, Rohana Mat Amin berkata, peruntukan itu membolehkan seramai 1,690 pelajar menerima manfaat tersebut.

Katanya, jumlah dana tersebut sedikit berkurang berbanding tahun lepas kerana berlaku penurunan pada bilangan pelajar yang memohon.

“Bantuan persediaan diberikan sejumlah RM1,000 jika mereka menyambung pelajaran di universiti peringkat ijazah, peringkat diploma sejumlah RM750 manakala peringkat asasi (diploma) dan sekolah menengah RM500,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyampaian Bantuan Pendidikan STPM, Peringkat Daerah Kuala Terengganu 2019 yang dirasmikan Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar, di Dewan Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Terengganu (JHEAT) di sini hari ini.

Rohana Mat Amin.
Dalam pada itu, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman, Oh She Quen,18, berkata, dia sangat menghargai usaha pihak kerajaan dalam meringankan beban mereka menuntut ilmu ke peringkat lebih tinggi.

“Saya sangat gembira dan bersyukur kerana menerima bantuan ini dan akan menggunakannya dengan sebaik mungkin untuk pelajaran saya.

“Sedikit sebanyak dengan adanya peruntukan ini, saya tidak perlu menggunakan duit sendiri untuk membeli kelengkapan belajar, duit simpanan boleh saya gunakan untuk masa hadapan di universiti,” tambah beliau.

Dalam majlis berkenaan, daerah Kuala Terengganu merekodkan jumlah penerima teramai dengan 398 orang manakala Setiu mencatatkan 120 orang sahaja yang juga merupakan daerah paling sedikit.

Oh She Quen.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: