Thursday, 10 October 2019

Terengganu Nyata Komitmen Terus Martabat Bahasa Kebangsaan

SHARE
Dato' Yahaya Ali.



KUALA NERUS, 10 Oktober- Kerajaan Terengganu menyatakan komitmen untuk terus memartabatkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa ilmu dan pemikiran.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN)Terengganu, Dato’ Yahaya Ali berkata, transformasi dalam citra bahasa kebangsaan di tempat awam akan terus dilaksanakan melalui penguatkuasaan semua pihak berkuasa tempatan negeri.

“Kerajaan negeri telah mewajibkan semua pengiklan dan pihak yang ingin memaparkan produk  atau perkhidmatan di tempat awam perlu mendapat pengesahan dan kelulusan bahasa oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta menggunakan tulisan Jawi, sebelum pihak berkuasa tejmpatan mengeluarkan permit mengizinkan ia dipaparkan.

“Kerajaan negeri juga akan menubuhkan badan pemikir untuk meningkatkan penyuburan program bahasa, persuratan dan kebudayaan dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam hasrat menjadikan Terengganu sebagai ‘Gerbang Tamadun’ yang hebat,” katanya.
Yahaya turut melancarkan beberapa buku yang dihasilkan penulis Terengganu.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan mewakili Menteri Besar, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar sekali gus merasmikan Karnival Gerakan Dekad Bahasa Kebangsaan peringkat Negeri Terengganu di Institut Pendidikan Guru Kampus Dato’ Razali Ismail, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Prof. Datuk Dr. Mohamad Hatta Shaharom, Pengarah DBP Wilayah Timur, Che Zainab Omar dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Maliaman Kassim disamping Pengarah IPG, Dr. Azman Jusoh.

Yahaya turut memaklumkan, sebagai menghargai usaha pemikir, budayawan dan sasterawan, kerajaan negeri telah melaksanakan Hadiah Sastera Darul Iman (HASDI) dan ia telah dilaksanakan selama tiga kali.

“Selain itu, kita juga mempertimbangkan penganugerahan Tokoh Bahasa, Tokoh Sastera, Tokoh Budaya dan Tokoh Ilmu bagi menyemarakkan program ketamadunan di negeri ini,” katanya.

Karnival anjuran DBP Wilayah Timur itu diadakan setiap tahun yang dahulu dikenali sebagai BUlan Bahasa Kebangsaan serta diisi dengan pelbagai aktiviti seperti Wacana Bahasa, Ekspresi Puisi Tradisonal, pertandingan pengukukan tulisan Jawi dan bahasa Melayu.






SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: